PEKAN, 7 JAN – Banjir di Felda Chini Timur 3 yang berlaku semalam, disifatkan mangsa sebagai paling buruk pernah berlaku di kawasan berkenaan.
Anak jati tanah rancangan itu, Muhammad Syazwan Mat Suhaimi, 29, berkata walaupun rumahnya pernah dilanda banjir sebelum ini, air hanya memasuki rumah di bahagian bawah (dapur) dengan ketinggian separas betis.
“Kali ini rumah atas juga habis dinaiki air. Hujan lebat berterusan sejak tengah hari menyebabkan air mula masuk ke bahagian dapur kira-kira 5 petang dan tidak sampai setengah jam kemudian, sudah mula memasuki ke rumah atas.
“Saya dan keluarga hanya dapat mengambil barangan penting dan pakaian untuk semalaman kerana bimbang untuk berlama-lama di dalam rumah.
“Keadaan sekeliling juga semakin kelam-kabut kerana semua sibuk menyelamatkan diri,” katanya.
Muhammad Syazwan berkata dia dan empat ahli keluarganya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, yang dibuka bagi menempatkan 61 mangsa banjir daripada 14 keluarga. – Bernama