Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Isu banjir yang sering terjadi di Daerah Belait semasa monsun timur laut atau musim tengkujuh yang dialami ketika ini adalah disebabkan fenomena air pasang besar terutama di kawasan berhampiran muara Sungai Belait.
Pada waktu air pasang diiringi dengan hujan lebat yang berpanjangan boleh menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan daratan termasuk Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait sekali gus mengakibatkan gangguan operasi dan risiko keselamatan.
Walau bagaimanapun, daripada pengalaman kejadian banjir sebelum ini, perkhidmatan kecemasan dan kawasan sekitar projek pembinaan tidak pernah terjejas akibat kenaikan paras air dan perkhidmatan itu sentiasa beroperasi seperti biasa 24 jam semasa berlakunya banjir di kawasan lain di Hospital Suri Seri Begawan.
Penerangan mengenai masalah kejadian banjir di hospital berkenaan diterangkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan semasa Persidangan MMN ke-21 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato menerangkan projek pembinaan bangunan baharu bagi perkhidmatan kecemasan di Hospital Suri Seri Begawan yang menggunakan peruntukan RKN 12 telah bermula pada 26 Februari 2025 dan dijangka siap pada Februari 2026. Ia terletak bersebelahan Jabatan Kecemasan sekarang serta dibina lebih tinggi daripada paras tanah.
Namun begitu, jelas Yang Berhormat Dato, sebagai langkah kesiapsiagaan pihak pengurusan Hospital Suri Seri Begawan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan melaksanakan inisiatif seperti pembinaan kalbat (pembentung) di Jalan Panglima di Kuala Belait pada Jun 2023.
Beliau menerangkan inisiatif itu bertujuan memastikan saliran di luar kawasan hospital berfungsi dengan baik.
Seterusnya, penilaian dan penyelidikan bagi sistem saliran dan pembentungan di dalam dan luar kawasan Hospital Suri Seri Begawan sedang dijalankan di mana hasil penilaian berkenaan akan dihadapkan oleh pihak JKR dalam suku kedua 2025 bagi mitigasi banjir seterusnya, jelas Yang Berhormat Dato.
