KOTA KINABALU, 16 Ogos – Pusat pemindahan banjir di Dewan Masyarakat Penampang Baru, Kimanis dekat Papar ditutup pada 2 petang tadi selepas kesemua 119 orang daripada 45 keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata pusat pemindahan itu ditutup setelah air banjir menyusut di kawasan terbabit dan semua jalan utama boleh dilalui oleh kenderaan.
Bagaimanapun, jawatankuasa bencana daerah dan jawatankuasa bencana negeri dinasihatkan sentiasa berwaspada dan bersiap sedia berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora yang membawa hujan dijangka berlarutan sehingga ke Jumaat seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Cuaca sekarang hujan renyai dan hujan lebat sekejap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu di Miri, Sarawak, tiga buah lagi sekolah rendah, menjadikan jumlahnya lapan buah sekolah di Sarawak ditutup esok akibat banjir membabitkan 715 murid.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, tiga buah sekolah yang ditutup esok ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Latap, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Yong Shing dan SK Nanga Kain yang mempunyai jumlah keseluruhan 143 murid.
Ini berdasarkan laporan Jabatan Pendidikan Sarawak yang diterima pukul 5 petang ini, katanya dalam kenyataan hari ini.
Lima buah sekolah yang masih ditutup ialah SK Long Lenei (42 murid), SK Kuala Kebulu (48 murid), SK Bukit Balai (364 murid), SJK Hang Kwang (15 murid) dan SK Nanga Assan (103 murid).
Untuk rekod, SK Kuala Kebulu dan SK Bukit Balai telah bercuti dua hari sejak Isnin kerana banjir, namun tiada pusat pemindahan dibuka. – Bernama