JACKSON, AMERIKA SYARIKAT, 29 JULAI – Banjir kilat berpunca daripada hujan lebat telah membunuh sekurang-kurangnya 15 orang di timur Kentucky dan angka kematian dijangka meningkat dua kali ganda, menurut gabenor negeri AS.
Dunia telah dicengkam cuaca ekstrem dalam beberapa bulan ini, insiden yang dikatakan ahli sains merupakan gejala perubahan iklim.
“Ia sungguh mengejutkan. Jumlah penduduk Kentucky yang terkorban kini mencecah 15 orang, dijangka meningkat dua kali ganda. Dan ia akan termasuk kanak-kanak,” beritahu Gabenor Andy Beshear kepada CNN.
Beliau berkata ratusan penduduk telah diselamatkan oleh bot dan terdapat 50 pasukan menyelamat menggunakan helikopter yang dihantar oleh Pengawal Negara.
“Kawasan timur Kentucky sering mengalami banjir tetapi kami tidak pernah menyaksikan banjir seperti ini,” kata Bashear. “Anggota menyelamat yang telah melakukan tugas menyelamat selama 20 tahun tidak pernah melihat paras air setinggi ini.”
Beberapa kawasan dilaporkan menerima lebih daripada lapan inci hujan dalam tempoh 24 jam.
Paras air di North Fork Sungai Kentucky di Whitesburg telah naik kepada 20 kaki, jauh melebihi rekod sebelumnya pada 14.7 kaki. – AFP
