NAIROBI, 6 NOV – Sekurang-kurangnya 15 orang maut di Kenya ketika banjir menghanyutkan puluhan rumah dan tanah ladang yang musnah berikutan hujan lebat, kata Palang Merah hari ini.
Hujan lebat telah melanda negara itu, khususnya kawasan utara yang kering-kontang, sejak kebelakangan ini, banyak rumah telah dibanjiri sekali gus menenggelamkan jalan, dengan kejadian yang sama berlaku di seluruh bahagian lain di Afrika Timur.
“Setakat semalam, 15,264 isi rumah telah terjejas, dengan 15 mangsa dilaporkan,” kata Palang Merah Kenya di X, sebelum ini Twitter.
Lebih 1,000 ternakan telah mati manakala sekurang-kurangnya 240 ekar tanah ladang pertanian telah musnah, tambahnya.
Agensi kemanusiaan PBB, OCHA, berkata bulan lalu bahawa timur Afrika berkemungkinan akan menghadapi hujan lebih lebat daripada biasa sepanjang tempoh Oktober-Disember kerana fenomena El Nino.
Jabatan Meteorologi Kenya juga memberi amaran minggu lalu hujan lebat itu “kemungkinan disertai angin kencang”.
“Angin kencang mungkin meniup bumbung, menumbangkan pokok dan menyebabkan kerosakan struktur,” katanya dalam satu nasihat.
Imej yang disiarkan di media tempatan menunjukkan air banjir membanjiri seluruh kampung dan menyebabkan penduduk melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi. – AFP


