MANILA, 13 JAN – Hujan lebat yang telah menyebabkan banjir dan tanah susur di Filipina sejak 1 Januari telah meragut 17 nyawa dan menjejaskan 500,000 orang, menurut agensi pengurusan bencana kerajaan, kelmarin.
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara berkata dalam satu laporan bahawa ia telah mencatatkan 17 kematian di lima kawasan daripada hujan yang disebabkan oleh kesan gabungan kawasan bertekanan rendah, monsun timur laut dan garis ricih.
Pihak berkuasa sedang mencari dua orang mangsa yang dilaporkan masih hilang.
Cuaca tersebut telah menjejaskan 13 kawasan, kebanyakannya di tengah dan selatan Filipina. Kawasan-kawasan ini telah bergelut dengan banjir sepanjang hujung minggu Krismas yang berterusan selepas Tahun Baharu.
Pihak agensi berkata bencana tersebut telah menyebabkan lebih daripada 70,000 orang hilang tempat tinggal dan ditempatkan di lebih 120 pusat pemindahan.
Kawasan di selatan Filipina, wilayah Mindanao dan empat kawasan lain di tengah Filipina sedang dilanda bencana alam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, biro cuaca negara memberi amaran bahawa kawasan bertekanan rendah, kini terletak 85km di timur wilayah Surigao del Sur, akan membawa lebih banyak hujan di kawasan Bicol dan tengah serta selatan Filipina. – Xinhua
