Banjir ragut 3 jiwa di Jakarta

JAKARTA, 26 FEB – Tiga orang maut dan tiga lagi hilang, sementara ribuan penduduk lagi tidak dapat pulang ke rumah mereka selepas banjir menenggelami beberapa buah kawasan di ibu negara Indonesia.

Banjir berlumpur membanjiri istana presiden, sebuah hospital besar dan seluruh kawasan kejiranan di seluruh Jakarta kelmarin, hanya beberapa minggu selepas 70 penduduk dari kawasan rendah terkorban dalam beberapa kejadian banjir yang sehingga kini membelenggu ingatan penduduk.

Dua remaja adalah antara lima orang yang menjadi mangsa dalam tragedi tersebut di kawasan ibu negara dengan keadaan haluan air menjadi deras akibat banjir, kata agensi bencana nasional Indonesia.

“Pasukan penyelamat masih melakukan operasi pencarian untuk tiga mangsa yang mungkin dihanyutkan dalam kejadian itu, jurucakap agensi Agus Wibowo memberitahu AFP, sambil menambah bahawa setakat ini hampir 20,000 orang tinggal di tempat perlindungan kecemasan.

Banjir berkenaan mencapai lebih dari satu meter (tiga kaki) di beberapa kawasan tetapi hari ini kelihatan surut, sehari selepas penyelamat memindahkan penduduk yang terjejas di kawasan berkenaan.

Sebahagian bandar raya tidak dapat dimasuki selepas beribu-ribu bangunan telah dibanjiri, mencetuskan gangguan kuasa dan menjejaskan tren komuter.

Jakarta, sebuah bandar yang terkepung oleh kesesakan lalu lintas yang besar dan infrastruktur yang kurang baik, terdedah kepada banjir semasa musim hujan setiap tahun.

Presiden Indonesia, Joko Widodo pada tahun lepas melancarkan rancangan untuk memindahkan ibu kota ke sebuah bandar yang belum dibina di pulau Borneo. – AFP

Penduduk menggunakan air daripada sungai selepas hujan lebat melanda kawasan yang terjejas di Jakarta, kelmarin. – AFP