Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir ragut 34 nyawa di Indonesia

    TANAH DATAR, INDONESIA, 12 MEI – Kira-kira 34 orang terbunuh dan 16 lagi hilang selepas banjir kilat dan aliran lava sejuk dari gunung berapi melanda barat Indonesia, kata seorang pegawai bencana tempatan hari ini.

    Hujan lebat selama berjam-jam menyebabkan banjir di dua daerah di wilayah Sumatera Barat pada petang kelmarin dan menghamburkan abu dan batu besar ke bawah Gunung Marapi, gunung berapi paling aktif di pulau Sumatera.

    “Sehingga kini, data kami menunjukkan 34 orang maut, 16 di Agam dan 18 di Tanah Datar. Kira-kira 18 yang lain cedera. Kami juga masih mencari 16 orang lain,” kata jurucakap agensi bencana Sumatera Barat, Ilham Wahab kepada AFP.

    Menurutnya, usaha mencari melibatkan penyelamat tempatan, polis, tentera dan sukarelawan.

    Daerah Agam dan Tanah Datar dilanda banjir kilat dan aliran lahar sejuk sekitar jam 10:30 malam kelmarin, menurut agensi mencari dan menyelamat Basarnas.

    Orang ramai meninjau kawasan yang terjejas akibat banjir kilat di Agam, Sumatera Barat, Indonesia, kelmarin. – AP

    Lahar sejuk, juga dikenali sebagai lahar, adalah bahan gunung berapi seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan.

    Terdahulu, Basarnas berkata 12 maut termasuk beberapa orang kanak-kanak.

    Ilham berkata hari ini pihak berkuasa masih menerima laporan kehilangan orang daripada saudara mara.

    Katanya, beliau tidak dapat memberikan jumlah orang yang dipindahkan dari kawasan itu kerana usaha mencari dan menyelamat masih tertumpu kepada mangsa dan mereka yang hilang.

    Di daerah Tanah Datar, beberapa masjid dan kolam awam musnah di kawasan itu dengan batu besar dan kayu-kayu bertaburan di atas tanah, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

    Di Lembah Anai, tempat pelancongan terkenal dengan air terjun di Tanah Datar, jalan yang menghubungkan bandar Padang dan Bukittinggi rosak teruk dan akses untuk kereta terputus.

    Di sungai berhampiran, dua trak telah dihanyutkan oleh banjir dan arus sungai yang deras, kata wartawan.

    Di Agam pula, berpuluh-puluh rumah dan kemudahan awam rosak, kata ketua agensi bencana daerah itu, Budi Perwira Negara kepada wartawan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda