CHEONGJU, KOREA SELATAN, 16 JULAI – Pasukan penyelamat bertungkus-lumus hari ini untuk menghubungi mereka yang terperangkap dalam terowong banjir di Korea Selatan, di mana sekurang-kurangnya 37 orang maut dan sembilan hilang selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh.
Korea Selatan berada di puncak musim tengkujuh musim panas dan telah mengalami hujan lebat sejak empat hari lalu, menyebabkan empangan utama melimpah.
Kementerian Dalam Negeri melaporkan bahawa 37 orang terbunuh dan sembilan lagi hilang di seluruh negara dalam hujan lebat, kebanyakannya tertimbus oleh tanah runtuh atau terjatuh ke dalam takungan banjir.
Beratus-ratus pekerja penyelamat masih bergelut untuk mencari lebih 10 kereta dan sejumlah orang yang terperangkap dalam terowong bawah tanah sepanjang 430 meter di Cheongju, wilayah Chungcheong Utara, kata kementerian itu.
Apabila AFP tiba di lokasi itu hari ini, pekerja penyelamat cuba mengalirkan terowong untuk mencapai mangsa, tetapi air masih kelihatan terlalu dalam, sekali gus menghambat usaha mencari.
Terowong itu ditenggelami pada pagi semalam selepas air banjir mengalir terlalu cepat untuk kenderaan keluar dari terowong itu, menurut agensi berita Yonhap.
Lima orang telah diselamatkan dari sebuah bas di terowong semalam, dan sembilan mayat setakat ini telah dikeluarkan dari tapak, dengan penyelam bekerja sepanjang masa mencari lebih ramai mangsa, kata Kementerian Dalam Negeri.
Polis telah menerima laporan orang hilang bagi 11 orang yang dipercayai berada di dalam terowong itu, tetapi angka rasmi masih belum diberikan, kerana tidak jelas berapa ramai orang dalam setiap kereta, lapor Yonhap. – AFP