Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir ragut lebih 500 nyawa di Chad

    N’DJAMENA, 22 SEPT – Sejak Julai lalu, banjir besar di Chad telah meragut 503 nyawa dan menjejaskan kira-kira 1.7 juta penduduk, menurut laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) di Chad dalam kenyataan pada Sabtu menyatakan, banjir tersebut turut memusnahkan 212,111 buah rumah, menenggelamkan 357,832 hektar (885,000 ekar) kawasan pertanian dan menyebabkan 69,659 ekor ternakan mati.

    Menurut Menteri Air dan Tenaga Chad, Marcelin Kanabe Passale, semua wilayah di negara itu terjejas dengan paras air Sungai Logone dan Chari mencapai tahap kritikal, dijangka menyebabkan banjir lebih serius dalam tempoh beberapa hari akan datang.

    “Paras air kedua-dua sungai ini berada pada tahap membimbangkan, dan berpotensi menyebabkan banjir lebih teruk dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media.

    N’Djamena, ibu negara Chad, yang terletak di kawasan pertemuan sungai Logone dan Chari turut berisiko tinggi dilanda banjir besar. Passale turut mengesyorkan agar air dari telaga-telaga persendirian dirawat dengan klorin sebelum digunakan untuk mengelak pencemaran.

    Sebagai langkah persediaan, sebuah jawatankuasa pemantauan banjir telah ditubuhkan bagi menilai risiko pencemaran bekalan air minuman serta mengawasi kenaikan paras air sungai. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda