Thursday, July 4, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Banjir, tanah runtuh di India ragut 16 nyawa

    GUWAHATI, 2 JULAI – Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa dalam tempoh dua minggu lalu di timur laut India, dengan lebih 300,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka yang ditenggelami air, kata pihak berkuasa negeri itu hari ini.

    Angkatan tentera darat dan udara India juga tidak ketinggalan dalam usaha menyelamat di Assam, salah satu negeri yang paling teruk terjejas, di mana sebuah helikopter tentera awal pagi tadi berjaya menyelamatkan 13 nelayan yang terkandas selama empat hari di sebuah pulau kecil di Sungai Brahmaputra, salah satu sungai terbesar di Asia, menurut pegawai setempat.

    Sungai Brahmaputra, yang mengalir sejauh 1,280 kilometer merentasi negeri Assam sebelum mengalir melalui Bangladesh, biasanya melimpah setiap tahun. Namun, tahun ini, peningkatan jumlah hujan telah menyebabkan sungai itu menjadi lebih berbahaya dengan aliran yang kuat dan tidak menentu, menjadikan kehidupan di lebih 2,000 perkampungan pulau di tengah-tengahnya lebih sukar.

    Orang ramai mengangkut barang-barang mereka dengan bot di kawasan terjejas banjir di daerah Morigaon di Assam, kelmarin. – AFP

    Di negeri jiran Arunachal Pradesh, yang bersempadan dengan China, tanah runtuh telah memusnahkan beberapa jalan raya. Pihak tentera telah dihantar untuk menyelamatkan 70 pelajar dan guru dari sebuah sekolah yang dilanda banjir di daerah Changlang, kata polis. Begitu juga, banjir besar di negeri Sikkim, Manipur dan Meghalaya yang telah menghanyutkan jalan dan meruntuhkan jambatan.

    Setakat ini, lebih daripada 80 penduduk di enam negeri timur laut telah terkorban sejak akhir Mei akibat banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan, menurut angka rasmi kerajaan di negara itu.

    Di Assam, haiwan di Taman Negara Kaziranga yang terkenal, menempatkan kira-kira 2,500 badak satu cula, telah berpindah ke kawasan lebih tinggi untuk mengelak daripada banjir. Sementara itu, renjer taman itu telah memantau pergerakan haiwan-haiwan tersebut untuk memastikan keselamatannya, kata Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir: Sembilan maut, jutaan terjejas

    GUWAHATI, 4 JULAI – Hujan lebat dan sungai melimpah di timur laut India dan negara jiran, Bangladesh, telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, menurut pegawai...