SYDNEY, 22 MEI – Banjir catat rekod mengakibatkan lebih 50,000 orang terkandas di timur Australia hari ini, mengorbankan tiga nyawa apabila arus berlumpur melanda bandar-bandar dan sungai yang melimpah telah memutuskan laluan jalan raya.
Polis telah menemui tiga mayat dalam air banjir yang semakin naik di Mid North Coast, sebuah kawasan berbukit dan lembah subur kira-kira 400 kilometer di utara Sydney.
Pihak berkuasa melancarkan misi besar-besaran mencari dan menyelamat apabila orang ramai terpaksa memanjat ke atas kereta, rumah dan jambatan lebuh raya untuk melarikan diri daripada banjir kilat yang deras. Jabatan kaji cuaca kerajaan itu berkata ribut telah mencurahkan lebih separuh daripada jumlah purata hujan tahunan hanya dalam tempoh tiga hari, memecah rekod paras banjir di beberapa kawasan.
“Kita sedang menyaksikan paras air di anak sungai, parit dan sungai tempatan yang tidak pernah dilihat sejak tahun 1920,” kata Perdana Menteri negeri New South Wales (NSW), Chris Minns kepada media.
“Ramai orang tidak pernah menyaksikan tahap limpahan atau banjir seperti ini dalam komuniti mereka.”
Bandar Kempsey, sebuah kawasan pertanian di tebing Sungai Macleay, telah terputus hubungan dengan sedikit amaran, kata Datuk Bandarnya, Kinne Ring kepada AFP.
“Selalunya kita fikir bunyi hujan di atas bumbung zink itu menenangkan, tetapi pada masa ini ia sangat bising dan menakutkan,” kata Ring.
“Hujan turun dengan lebat dan setiap kali hujan, awda tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya.”
Ring berkata lebih 20,000 orang terputus hubungan di kawasan pentadbiran tempatan beliau sahaja. – AFP
