Friday, September 27, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir Terengganu semakin buruk

    KUALA TERENGGANU, 18 DIS – Penduduk di kawasan berisiko dan terjejas banjir diminta supaya tidak panik dan sentiasa peka dengan amaran serta arahan pihak berkuasa.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata situasi banjir di negeri ini semakin buruk apabila enam daerah sudah mula dilanda bencana tersebut setakat ini.

    Sehubungan itu katanya penduduk dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama sekali jika diminta untuk berpindah demi keselamatan semua.

    “Banjir gelombang kedua ini seperti dijangka lebih buruk berbanding gelombang pertama awal bulan ini. Dalam tempoh 12 jam hanya dua daerah iaitu Marang dan Kuala Nerus yang belum dinaiki air.

    “Orang ramai perlu lebih berwaspada kerana situasi ini dijangka berterusan hingga 22 Disember susulan ramalan taburan hujan lebat ekstrem yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

    Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu kali ini dalam kejadian di Kampung Apal di sini hari ini. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan ditemukan terapung dalam parit kira-kira 20 meter dari rumah tempat mangsa dikatakan terjatuh pada kira-kira 3:40 petang tadi.

    “Kejadian dikatakan berlaku ketika ibu saudara mangsa yang berada di rumah sedang bersiap-siap untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana paras air semakin meningkat sebelum mendapati mangsa telah keluar sendiri melalui pintu dapur.

    “Mangsa dikatakan terjatuh di dalam air banjir dan dihanyutkan arus dalam kejadian itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut. – Bernama

    Beberapa penduduk mengharungi air dengan membawa pakaian untuk ke tempat selamat selepas kampung mereka dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan di Kampung Tengkawan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda