Monday, December 16, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: Utamakan keselamatan dalam aktiviti pelancongan

    KOTA KINABALU, 26 JAN – Penduduk, pelancong dan pengusaha pelancongan di Sabah dinasihatkan untuk mengutamakan langkah keselamatan terutama dalam perjalanan serta aktiviti pelancongan susulan cuaca tidak menentu dan bencana banjir yang melanda negeri ini.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata langkah itu perlu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk dan pelancong yang datang ke Sabah. “Pengusaha pelancongan punya peranan bagi memastikan keselamatan pelancong sepanjang mengendalikan percutian mereka di Sabah, ini terutama apabila pelancong itu terlibat dalam aktiviti riadah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata setiap daerah mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bencana masing-masing yang memainkan peranan dalam mendepani bencana berlaku, justeru beliau menasihatkan semua pihak terutama pelancong dan pengusaha pelancongan mematuhi perancangan jawatankuasa itu.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memberitahu seramai 6,331 orang (2,168 keluarga) ditempatkan di 25 pusat pemindahan sementara di lima daerah yang dilanda banjir setakat 2 petang tadi.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara menasihatkan orang ramai agar menangguhkan seketika perjalanan atau aktiviti riadah jika perlu bagi mengelak risiko keselamatan susulan bencana itu.

    Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat warga emas Dodie Dray, 79, ke dalam bot untuk dipindahkan selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Rancangan Cocos, Pamol, Sabah, kelmarin. –Bernama

    “Kalau kita lihat hujan, kemungkinan ombak besar di laut, kalau aktiviti di laut dan ombak besar, potensi berlaku bot karam adalah tinggi dan Sabah minggu ini saja kita berdepan dua kes bot karam jadi nasihat saya tangguh seketika, kalau di sungai, kepala air boleh berlaku sebab hujan lebat,” katanya.

    Selain itu katanya pengusaha pelancongan juga perlu peka memastikan tahap keselamatan pelancong atau pengunjung dan jika perlu untuk tidak membenarkan aktiviti riadah atau perkara yang boleh mengancam nyawa pelancong ekoran cuaca buruk.

    Dalam pada itu, Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim berkata sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut pihaknya telah mengadakan mesyuarat serta taklimat persediaan bersama semua pengurus stesen pada November tahun lalu.

    Beliau berkata umumnya kawasan TTS adalah kawasan yang selamat dari segi banjir kerana semua adalah kawasan tanah tinggi dan kepulauan, seperti Taman Daratan dan pendakian Gunung Kinabalu.

    “Bagaimanapun jika berlaku hujan dan angin yang berterusan perkara itu boleh mewujudkan larian air yang deras dan jarak penglihatan terhad, maka pendakian akan ditutup berdasarkan prosedur operasi standard pendakian gunung,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda