Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept- Kumpulan Bank Baiduri akan mengadakan Kempen Derma Darah Tahunan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di mana ia dibukakan kepada orang ramai yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri bermula pukul 9 pagi hingga pukul 4 petang pada 1 Oktober nanti.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, hari ini, mengongsikan sejak 2009, inisiatif itu merupakan bahagian penting dalam usaha Tanggungjawab Sosial Korporat kumpulan bank berkenaan.
Dengan hospital-hospital sering memerlukan bekalan darah untuk kecemasan, pembedahan dan rawatan penyakit-penyakit kronik, penderma darah kerap memainkan peranan penting dalam menyokong sistem penjagaan kesihatan negara di mana satu pendermaan mempunyai potensi untuk memanfaatkan hingga tiga orang pesakit.
Kempen derma darah tahun ini dianjurkan dan diterajui oleh perantis-perantis dari Program Perantisan Graduan (GAP) Bank Baiduri.

Program berkenaan menyediakan graduan baharu dengan kemahiran, ilmu pengetahuan dan pengalaman mustahak untuk meningkatkan kebolehkerjaan mereka dalam pasaran pekerjaan tempatan.
Penglibatan mereka dalam penganjuran kempen berkenaan memberikan mereka pengalaman berharga sambil memupuk rasa khidmat masyarakat dan tanggungjawab sosial yang kuat.
Acara itu juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kerap menderma darah sambil menyediakan pendidikan mengenai gangguan darah dan keperluan berterusan bagi sokongan penderma berterusan.
Ia juga mencerminkan lagi kerjasama berpanjangan Bank Baiduri dengan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan komitmen bersama kepada kebajikan masyarakat.
Para peserta juga akan berpeluang untuk meneroka pelbagai vendor tempatan termasuk Florise, Dynamic Cafe, Utara Coast, Energy Juice dan Comfort Greens & Toots.
Semua penderma yang layak digalakkan untuk mengambil bahagian dan mendaftar melalui aplikasi Bloodkad.

