Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Dengan menghimpunkan kakitangan untuk mengukuhkan budaya kesejahteraan di seluruh organisasi, Bank Baiduri mengadakan Forum Kesejahteraan Tempat Kerja 2025 yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri pada 24 Oktober lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, menyatakan forum yang membawa tema, Meningkatkan Kesejahteraan Anda Melalui 5 Deria, menggalakkan pekerja untuk menemui semula bagaimana kesedaran deria dapat memupuk kesedaran, daya tahan dan pendekatan yang seimbang kepada pekerjaan serta kehidupan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi, Pengiran Azaleen Pengiran Dato Haji Mustapha mengongsi bahawa di Bank Baiduri, kesejahteraan merupakan bahagian penting dalam budayanya dan mencerminkan komitmen kepada menjana sebuah tempat kerja yang beraksi dengan cemerlang dan memimpin dengan empati.
“ Menerusi Inisiatif Kesejahteraan Pekerja, kitar membina sebuah budaya di mana warga kita adalah disokong untuk berkembang maju, mengetahui bahawa kejayaan kolektif kita bermula dengan kesejahteraan mereka.”

Semasa acara berkenaan, Ketua Sumber Manusia Kumpulan dan Bahagian Pentadbiran, Veronica Chong menyampaikan persijilan Psychological First Aider (PFA) kepada seramai 30 orang kakitangan terlatih baharu daripada pelbagai jabatan dan cawangan.
Dengan jumlah keseluruhan 74 PFA diiktiraf, Bank Baiduri terus membina rangkaian sokongannya bagi kesihatan mental di seluruh organisasi.
Sejak Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (EWI) diperkenalkan pada 2020, Bank Baiduri terus mencapai kemajuan yang mantap dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja melalui empat dimensi kesejahteraan iaitu Fizikal, Mental, Kewangan dan Kerohanian.

Indeks Kesejahteraan Pekerja 2025 terkini mencatatkan skor 79 peratus, mengatasi purata Asia Pasifik sebanyak 67 peratus dan purata global sebanyak 71 peratus, menggariskan komitmen berterusan bank berkenaan untuk memupuk budaya tempat kerja yang menyokong dan sihat.
Sebagai sebahagian daripada acara berkenaan, Bank Baiduri turut mengiktiraf empat rakan strategik Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (EWI) iaitu Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Jerudong Park Medical Centre (JPMC), EVYD Technology dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Kerjasama mereka telah memainkan peranan penting dalam memajukan program kesejahteraan Bank dan memperkukuhkan pendekatan holistiknya terhadap kesihatan pekerja.


Salah satu kemuncak forum berkenaan ialah perbincangan panel mengenai tema “Kelebihan Kompetitif Baharu – Mengoptimumkan Pilihan Keselamatan Psikologi.” Ahli panel yang terdiri daripada Ketua Jabatan Risiko Kumpulan Bank Baiduri, Jonathan Lim Sung Yuen, Pakar Psikiatri dari Kementerian Kesihatan, Dr. Rifai Farid dan Pengamal Pernafasan, Hajah Siti Rozana binti DP Haji Md Yunos, berkongsi pandangan mengenai bagaimana memupuk keselamatan psikologi di tempat kerja dapat meningkatkan kesejahteraan, memperkukuh kerjasama dan memacu prestasi organisasi.
Forum itu menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk permainan yang menyeronokkan dan pengalaman berasaskan deria serta pemeriksaan kesihatan percuma seperti penilaian BMI yang dijalankan oleh duta EWI dan analisis postur oleh Traphy Brunei.
Sebuah Zen Space, yang dicipta dengan kerjasama Boeffi dan KN Nursery, direka untuk menggalakkan rehat dan refleksi. Acara diakhiri dengan sesi kecergasan dan kesejahteraan di Baiduri Bank South Lawn, yang menonjolkan tumpuan berterusan bank berkenaan dalam mempromosikan gaya hidup yang sihat dan seimbang.

