Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri anjur forum tingkat kepimpinan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Dalam usaha berterusan untuk mengukuhkan komitmen untuk membangunkan sebuah budaya inovasi dan kecemerlangan, Bank Baiduri mengadakan Forum Kepimpinan Ketiga yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, sebagai sebuah inisiatif pembangunan pekerja induk Kumpulan Bank Baiduri, forum kepimpinan selama sehari itu, berhasrat untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan di serata organisasi dengan mempromosikan kolaborasi dan pembelajaran bersama di kalangan pemimpin dan pengurus warganya.

    Pada tahun ini, forum itu menekankan pemerkasaan pemimpin untuk menangani pasukan-pasukan berprestasi tinggi sebagai respons kepada kerumitan landskap kewangan yang pesat berubah, sambil menjelmakan nilai-nilai utama Bank Baiduri iaitu kebolehpercayaan, inklusiviti, empati dan semangat keusahawanan.

    Jurulatih kepimpinan bertauliah dari John IT Consulting, John Tse Tow Joon Chung telah menyampaikan sesi mengenai transformasi kepimpinan menawarkan pandangan praktikal dalam memupuk penyesuaian dan pertumbuhan kepimpinan.

    Sepanjang program berkenaan, para peserta telah meneroka tema-tema utama termasuk kesedaran diri dan kesedaran keadaan, pentingnya nilai dan visi dalam kepimpinan serta pengenalan kepada model Leaderhip Circle.

    Acara itu juga merangkumi sesi perbincangan panel mengenai kekuatan dan cabaran-cabaran kepimpinan serta juga sesi perbincangan tidak formal bagi pengurus-pengurus untuk berkongsi pengalaman mereka dan terlibat dalam perbincangan mengenai topik kepimpinan utama.

    Mengimbas mengenai kepentingan acara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyatakan bahawa melabur dalam pemimpin kita adalah pelaburan dalam masa depan Bank Baiduri.

    Dengan menangani kemahiran kepimpinan yang kuat dan memupuk sebuah persekitaran kerjasama berpasukan, prestasi organisasi bukan sahaja dapat ditingkatkan tetapi juga pasukan dapat diperkuatkan dan potensi penuh dapat dicapai.

    Di akhir forum berkenaan, sebanyak 24 anugerah telah disampaikan kepada pelbagai ketua jabatan dan pasukan mereka sebagai mengiktiraf pencapaian mereka dalam tahun 2024.

    GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda