Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Bank Baiduri yang bekerjasama dengan Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) selaku rakan kongsi strategik telah mengadakan inisiatif tahunannya, Let’s Give Back This Ramadan ke-8.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, menyatakan bahawa setiap tahun, keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik dari keempat-empat daerah akan dikenal pasti oleh rakan kongsi strategik bank berkenaan, di mana mereka akan dibawa untuk membeli-belah bagi barangan keperluan rumah sebagai persediaan bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri di pasar raya tempatan serta kemudian dibawa untuk berbuka puasa.
Inisiatif tahun ini akan menyokong seramai 100 ahli MKOKU dan keluarga mereka di mana ia bermula dengan 28 ahli dari Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong membeli-belah di Hua Ho Onecity dan Soon Lee Megamart Lambak, kelmarin.
Hadir semasa acara berkebajikan berkenaan ialah jawatankuasa pengurusan Bank Baiduri iaitu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Bendahari Kumpulan dan Perbankan Institusi, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Ketua Perbankan Institusi, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah.
Pengiran Azaleen dipetik menyatakan bahawa bulan Ramadan merupakan tempoh bagi refleksi dan penambahbaikan diri di mana ia menawarkan kita dengan peluang unik untuk menyokong masyarakat serta mereka yang memerlukan bantuan, iaitu mengukuhkan lagi nilai-nilai keprihatinan dan amal kebajikan. Beliau menyatakan bahawa dirinya dan rakan-rakan sejawat adalah amat bernasib baik dan bersyukur kerana berpeluang untuk menabur bakti kembali kepada masyarakat dalam acara kebajikan yang dilaksanakan.
Beliau menambah bahawa melalui sumbangan derma atau menyumbang masa dan usaha, kita boleh membantu mereka yang memerlukan dan usaha itu adalah amat berbaloi.
Pada masa ini, terdapat sembilan buah organisasi bukan kerajaan di bawah MKOKU iaitu Pusat Ehsan, KACA, PAPDA, SMARTER Brunei, ABLE, SOBD, BDNAB, OKP dan LLS.


