Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Baiduri Bank telah menandakan edisi ke-18 bagi Siri Pemerkasaan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), sekali gus mengukuhkan komitmen dalam membangunkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Brunei melalui peluang pembelajaran berasaskan kemahiran dan praktikal.
Siri Pemerkasaan PKS hari ini diadakan di Baiduri Enterprise Hub itu merupakan edisi terkini dengan memperkenalkan ‘Sales Hackathon’ iaitu sebuah sesi interaktif yang direka untuk membantu pemilik perniagaan berhubung secara langsung dengan pelanggan yang berpotensi melalui pendekatan panggilan telefon yang berkesan.
Usahawan daripada pelbagai sektor seperti teknologi, perkhidmatan, makanan dan minuman serta kraf telah menyertai sesi berkenaan.
Bengkel telah dikendalikan oleh Kevin Legg dan David Chan dari SAGE, Singapura, yang mana Kevin Legg, ialah Pengasas dan Rakan Pengurusan SAGE, dengan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam reka bentuk pembelajaran di tempat kerja merentas 16 negara dan enam industri.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan GLG bagi Singapura, ASEAN, Australia, dan India, di mana beliau pakar dalam pembangunan perniagaan dan pendidikan asas pengurusan.
Sementara David Chan pula ialah seorang eksekutif kanan dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor semikonduktor dan industri, dan baru-baru ini berkhidmat sebagai Naib Presiden Eksekutif di Heraeus Electronics.
Beliau menguruskan perniagaan bernilai USD800 juta dan memacu pertumbuhan serantau melalui strategi serta kerjasama yang inovatif.
Hackathon menggalakkan para peserta untuk mengaplikasikan konsep jualan secara masa nyata, termasuk membuat panggilan kepada pelanggan sasaran yang telah dikenal pasti, menambah baik skrip panggilan, dan menerima maklum balas secara langsung daripada fasilitator.
Sebelum sesi berlangsung, peserta telah melengkapkan tugasan persediaan awal, termasuk mengenal pasti profil pelanggan ideal mereka, merangka skrip panggilan yang diperibadikan, serta memastikan produk dan perkhidmatan mereka bersedia untuk dipasarkan kepada khalayak antarabangsa.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, Siri Pemerkasaan PKS telah berkembang menjadi salah satu inisiatif utama di bawah usaha tanggungjawab sosial korporat Baiduri Bank, yang menyokong komuniti perniagaan Brunei melalui program pembangunan kapasiti dan khidmat nasihat.
Edisi-edisi terdahulu telah memberi tumpuan kepada pembangunan jenama, pengembangan pasaran dan pendekatan kepada pelanggan, termasuk sesi yang dikendalikan oleh pakar antarabangsa seperti Dr Jerome Joseph dari Global Brand Academy dan Kevin Legg.
Menerusi inisiatif jangka panjang ini, Bank Baiduri terus memperkukuhkan peranannya sebagai rakan dalam pertumbuhan PKS, membantu usahawan tempatan membangunkan kemahiran, rangkaian dan keyakinan untuk bersaing serta berkembang di pasaran tempatan dan serantau.


