Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Bank Baiduri mengumumkan peranannya sebagai pembiaya tunggal loji jana kuasa fotovoltaik solar berskala besar pertama di Negara Brunei Darussalam yang menandakan satu langkah penting dalam perjalanan kemampanan bank berkenaan serta peralihan tenaga negara.
Ia juga menandakan pembiayaan pertama seumpamanya bagi bank berkenaan di mana ia mengetengahkan komitmennya untuk menyelaraskan amalan perniagaan dengan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP), Nationally Determined Contribution (NDC) dan Wawasan Brunei 2035.
Ketika Brunei memajukan cita-cita berdaya tahan iklim, peralihan tenaga dan rendah karbon, bank berkenaan mengambil peranan proaktif dalam membolehkan kemajuan melalui pembiayaan yang bertanggungjawab.
Detik istimewa berkenaan diperingati melalui majlis menandatangani perjanjian kemudahan pembiayaan di antara Bank Baiduri dan Seri Suria Power yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.
Bank Baiduri turut menyampaikan plak kenangan kewangan kepada wakil rakan kongsi projek iaitu Khazanah Satu Sdn Bhd, Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd dan Atlantic Blue Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Solarvest Holdings Berhad.





Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Muhamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, jawatankuasa pengurusan Bank Baiduri dan pihak berkepentingan lain yang terlibat dalam projek berkenaan. Dalam kata alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyatakan ia merupakan satu detik bangga bagi Bank Baiduri di mana ia bukan sahaja kerana mereka merupakan pembiaya tunggal bagi projek penting berkenaan tetapi kerana ia melambangkan langkah ke hadapan bermakna ke arah perjalanan kemapanannya.
“Kami melihat ini sebagai permulaan kepada lebih banyak peluang untuk menyokong projek yang menyumbang kepada matlamat jangka panjang negara untuk mewujudkan ekonomi yang dinamik dan mampan,” tambahnya lagi.
Ti Eng Hui juga menyatakan plak kenangan kewangan yang disampaikan itu mencerminkan cita-cita, kepercayaan dan komitmen bersama bagi kolaborasi jangka panjang antara rakan kongsi sektor awam dan swasta.
Kemudahan 30 megawatt (MW) di Kampung Belimbing itu, sedang dibangunkan di bawah model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) oleh Seri Suria Power (B) Sdn Bhd iaitu usaha sama antara Serikandi Oilfield Services, Khazanah Satu dan Atlantic Blue.
Loji itu akan dibina di tapak pelupusan sampah seluas 32.29 hektar dan dijangka menjana lebih 64,000 MW-jam elektrik setiap tahun iaitu menjana kuasa lebih daripada 15,500 rumah dan mengimbangi anggaran 41,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun.
Projek itu dijadualkan beroperasi pada penghujung 2026.
Bank Baiduri berbangga memainkan peranan utama dalam menyokong mercu tanda kebangsaan itu di mana projek berkenaan akan menyumbang secara langsung kepada matlamat Brunei meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui sekurang-kurang 30 peratus kapasiti penjanaan kuasa keseluruhan menjelang 2035 seperti digariskan dalam Strategi 4, BNCCP dan menyokong sasaran NDC meluas mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Ia merupakan langah nyata ke hadapan dalam memajukan peralihan Brunei ke arah masa depan rendah karbon yang lebih mampan.
Projek berkenaan juga mencerminkan strategi meluas Bank Baiduri kepada menyokong pembangunan mampan menerusi kerjasama berpandangan ke hadapan dan pembiayaan bertanggungjawab yang selaras dengan keutamaan kebangsaan.

