Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Sebagai meneruskan komitmen berpanjangannya kepada pembangunan masyarakat, Bank Baiduri memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam (BRC) dalam majlis penandatanganan yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, penandatanganan yang disokong oleh Kementerian Kesihatan menggariskan komitmen bersama kepada memajukan kebajikan sosial dan kesukarelawanan dalam negara.
Hadir pada majlis dan menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan, Pengarah Perkhidmatan Hospital, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Lailawati binti Haji Jumat.
Menandatangani bagi pihak Bank Baiduri, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan menandatangani bagi pihak BRC ialah Presiden BRC, Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Ti Eng Hui menyatakan MoU berkenaan mencerminkan visi strategik mereka untuk terlibat dengan masyarakat dalam kaeadah yang bermakna dan mampan.
“Dengan bekerjasama dengan organisasi gabungan antarabangsa seperti BRC, kami menyumbang kepada pembangunan sosial yang inklusif selaras dengan matlamat dan strategi Wawasan Brunei 2035”.
Beliau menambah, “menyokong program BRC Care membolehkan kami menyumbang kepada inisiatif bermakna yang membawa perkhidmatan penjagaan penting secara langsung kepada mereka yang paling memerlukannya”.
Sementara itu, Lailatul Zubaidah pula menerangkan pelancaran BRC Cares dengan sokongan padu Bank Baiduri akan memperbaiki kehidupan ramai individu dan keluarga mereka dalam masyarakat kita.
Ia juga menyampaikan mesej yang kuat kepada masyarakat bahawa perpaduan masyarakat boleh sahaja dicapai apabila empati dan kebaikan menjadi matlamat bersama kita, tekannya lagi.
“Tidak perlu dikatakan, saya berharap lebih banyak syarikat korporat dan organisasi yang berfikiran sama akan mengikuti jejak, menjalin perkongsian baharu dan menghidupkan semula ikatan yang sedia ada dengan BRC, untuk berganding bahu dengan BRC dan Bank Baiduri bagi membina komuniti yang sihat dan selamat, mengurangkan kelemahan, mengukuhkan daya tahan serta yang paling penting, memupuk budaya keamanan di seluruh dunia”.
Menerusi kerjasama itu, bank berkenaan akan menyediakan sokongan kewangan ke arah pembangunan BRC Care, perkhidmatan penjagaan yang diterajui oleh BRC, di samping mempromosikan budaya kesukarelawanan dalam kalangan pekerja di seluruh Kumpulan Bank Baiduri.

Inisiatif itu sejajar dengan rangka kerja CSR bank berkenaan, yang dibina di atas tiga teras iaitu Sosial, Ekonomi dan Alam Sekitar.
BRC Care ialah perkhidmatan penjagaan profesional untuk rumah dan di hospital yang merangkumi rangkaian perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan, perundingan kejururawatan dan psikologi, latihan penjaga serta penjagaan khusus termasuk penyusuan Tiub Nasogastrik dan prosedur penjagaan lain di bawah bimbingan profesional.
Di sebalik sokongan kewangan, perkongsian itu membuka ruang baharu kepada pekerja Bank Baiduri untuk terlibat secara langsung dengan masyarakat melalui Baiduri Cares dan ‘Mengalinga’, platform sukarelawan perintis Brunei yang dibangunkan bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Ia juga akan mengukuhkan usaha membina kapasiti kerana BRC menyediakan latihan pertolongan cemas profesional dan pertolongan cemas psikologi untuk pekerja, melengkapkan mereka dengan kemahiran penting untuk menyokong komuniti pada masa yang diperlukan.
