Oleh Nurdiyanah R. –
SINGAPURA, 11 JULAI – Bank Baiduri telah diiktiraf sebagai Domestic Retail Bank of the Year – Brunei pada Anugerah Perbankan Runcit oleh Asian Banking & Finance (ABF) 2025, buat tahun ke-13 berturut-turut, sekali gus menekankan kecemerlangannya yang berterusan dalam prestasi kewangan, inovasi dan pertumbuhan yang berfokuskan pelanggan.
Dalam penganugerahan tersebut, ABF memuji prestasi cemerlang Bank Baiduri sepanjang tahun lalu yang disokong oleh kedudukan kewangan kukuh dan pengurusan berkesan.
Anugerah itu juga bertepatan dengan dasar perluasan serantau bank berkenaan menerusi pelancaran Pejabat Perwakilan Singapura baru-baru ini. Langkah strategik itu bertujuan mengukuhkan kehadiran bank di peringkat serantau, mempromosi keupayaan perbankan korporat dan institusinya, serta memperkukuh hubungan dengan rakan niaga dan institusi kewangan.
Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata pihaknya berbesar hati menerima anugerah tersebut sekali lagi daripada ABF, yang mencerminkan dedikasi seluruh kakitangan serta kepercayaan pelanggan dan rakan kongsi terhadap bank berkenaan.
“Sepanjang tahun lalu, kami terus memperkukuh asas operasi kami, memajukan strategi kepelbagaian serantau, serta melabur dalam keupayaan digital bagi memberikan impak lebih besar kepada pelanggan.

“Kami kekal akan menumpu pada penyelesaian kewangan berteraskan tadbir urus yang baik, inovasi dan pemahaman mendalam terhadap komuniti yang kami layani,” ujarnya.
Ketua Perbankan Runcit, Lim Kian Chiong dan Ketua Pengurusan Kekayaan, Brian Wong hadir menerima anugerah berkenaan bagi pihak Bank Baiduri pada majlis anugerah yang berlangsung di Singapura.
Lim Kian Chiong dalam ucapannya berkata bahawa anugerah itu mencerminkan usaha berterusan pihaknya untuk mentakrifkan semula makna perbankan bagi para pelanggan.
“Di Bank Baiduri, kami komited untuk meningkatkan pengalaman perbankan runcit sama ada melalui platform intuitif seperti Tap2Pay, yang membolehkan perniagaan kecil menerima pembayaran tanpa sentuh hanya menggunakan telefon pintar, mahupun melalui program yang memperkasakan pelanggan untuk mengawal kesejahteraan kewangan mereka.
“Fokus kami adalah untuk menyediakan penyelesaian yang disesuaikan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan individu, tetapi juga memberi impak bermakna dalam kehidupan pelanggan yang kami layani,” jelasnya.
Pengiktirafan itu menambah kepada senarai pencapaian Bank Baiduri bagi tahun 2025, termasuk Anugerah Bank Terbaik di Brunei oleh FinanceAsia, Bank Terbaik Brunei oleh Global Finance, Bank Runcit Terbaik di Brunei oleh The Asian Banker (TAB) serta Bank Terurus Terbaik di Brunei dalam TAB Global Leadership Achievement Awards 2025.