Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri diiktiraf bank digital terbaik Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Bank Baiduri telah diiktiraf sebagai Bank Digital Terbaik di Brunei 2025 oleh Euromoney setelah dianugerahi Awards for Excellence yang berprestij sekali gus mempamerkan kepimpinan bank berkenaan dalam memacu transformasi digital, inovasi dan kedayatahanan dalam sektor kewangan Brunei.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, ia merupakan kali pertama Bank Baiduri menerima gelaran Best Digital Bank lanjutan dari kemenangan sebagai Best Bank in Brunei.

    Anugerah berkenaan telah disampaikan dalam Majlis Awards for Excellence yang menghimpunkan antara yang terbaik dan paling bersinar serta meraikan pencapaian cemerlang dalam industri perbankan dan kewangan.

    Mewakili Bank Baiduri ialah Ketua Perbankan Digital, Goh Wen Feng dan Ketua Pegawai Perwakilan, Pejabat Perwakilan Singapura Bank Baiduri, Young YI yang menerima anugerah berkenaan bagi pihak bank.

    Euromoney mengetengahkan usaha Bank Baiduri dalam mempercepatkan peralihan Brunei ke arah kewangan digital sepenuhnya. Satu pencapaian penting adalah penghijrahan ke Temenos’ cloud-native core banking platform yang pertama seumpamanya di Brunei.

    Bank berkenaan juga mengembangkan inovasi pembayaran digital dengan Tap2Pay, NFC-enabled mobile POS pertama Brunei. Perkhidmatan berkenaan membolehkan pedagang khususnya PMKS, untuk menerima pembayaran tanpa sentuhan dengan hanya menggunakan peranti mudah alih, mengembangkan akses kepada perdagangan digital dan menyokong sektor PMKS Brunei.

    Dalam perbankan korporat, Baiduri bekerjasama dengan FIS Global untuk melaksanakan sistem loan origination generasi baharu yang dikuasakan oleh AI dan pembelajaran mesin untuk mempercepatkan kelulusan pinjaman sambil mengukuhkan pengurusan risiko, memastikan perkhidmatan yang lebih selamat dan cepat bagi klien korporat.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik menyatakan amat berbesar hati untuk dinamakan Best Digital Bank in Brunei oleh Euromoney.

    Pengiktirafan berkenaan mencerminkan dedikasi dan visi warga bank yang berusaha dengan tekun untuk merubah kaedah perbankan yang disampaikan di Brunei.

    “Daripada memodenkan sistem teras kami kepada melancarkan penyelesaian pembayaran yang inovatif dan mengukuhkan keselamatan, kami sedang membayangkan semula perbankan untuk era digital.”

    Beliau juga menyatakan melangkaui teknologi, komitmen mereka kekal berpaksikan pelanggan mereka, memperkasakan mereka dengan penyelesaian yang inklusif, lancar dan selamat yang menyokong cita-cita mereka.

    “Anugerah ini mengesahkan pencapaian dan mengukuhkan azam kami untuk terus memacu inovasi digital untuk manfaat pelanggan, komuniti dan masa depan kewangan Brunei.”

    Dengan pendigitalan yang semakin pantas, keselamatan tetap menjadi keutamaan di mana Bank Baiduri memperkenalkan kawalan tempoh bertenang pertama Brunei dalam aplikasi runcitnya, menambah penampan terhadap penipuan dengan menangguhkan urus niaga berisiko tinggi.

    Bank Baiduri juga mewujudkan tapak Business Continuity and Disaster Recovery di Pusat Komersial Jerudong yang menempatkan tapak ganti khusus, arkib terpusat dan pusat data sandaran, memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lancar, keselamatan data yang teguh dan kecekapan operasi yang lebih baik.

    Kejayaan digital Bank Baiduri disokong oleh prestasi kewangan yang kukuh apabila mencapai rekod keuntungan bersih sebanyak $ 95.1 juta, dengan aset melepasi $ 4.1 bilion sambil mengekalkan Nisbah Modal Tahap 1 sebanyak 25.64 peratus iaitu jauh melebihi keperluan kawal selia pada 2024.

    Bank tersebut juga telah memajukan kemampanan melalui strategi Baiduri Greenprint  yang dibina atas tiga teras iaitu Warga, Proses dan Planet. Sementara itu, pelancaran Pejabat Perwakilan Singapura pada 2025 telah mengukuhkan ketersambungan serantau, mewujudkan jalan baharu untuk kerjasama rentas sempadan dan meletakkan Bank Baiduri sebagai rakan kongsi untuk perniagaan yang mengemudi pasaran dinamik Asia Tenggara.

    Goh Wen Feng mewakili Bank Baiduri menerima anugerah tersebut . – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda