Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri diiktiraf Kumpulan Perbankan Terbaik kali ke-12

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Majalah World Finance, penerbitan kewangan antarabangsa, telah mengiktiraf Bank Baiduri sebagai Kumpulan Perbankan Terbaik bagi Brunei 2021, menerima anugerah tersebut buat kali ke-12.

    Anugerah itu juga menandakan anugerah perbankan antarabangsa ketiga yang diterima oleh bank berkenaan pada tahun ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, hari ini.

    Kenyataan menyatakan, menurut Tom Crosse daripada World Finance, “Bank Baiduri mendahului dalam inovasi, pengalaman pengguna dan perbankan mudah alih. Tambahan lagi, tahun ini, kami terutamanya tertarik dengan tindakannya dalam meringankan isu-isu aliran tunai jangka pendek bagi klien-klien runcitnya dan mereka yang terjejas oleh pandemik global COVID-19.”

    Mengulas mengenai pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik menyatakan bahawa anugerah berkenaan lebih penting disebabkan perkara-perkara yang tidak pernah berlaku pada 2020.

    “Pencapaian terkini ini menggambarkan kedayatahanan kami, prestasi kukuh dan model perniagaan yang terbukti apabila kami menyaksikan peningkatan besar dalam saham pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi,” ujarnya.

    Beliau menjelaskan lanjut mengenai beberapa pencapaian penting yang menyumbang kepada tahun kejayaan pada 2020. “Kami telah meningkatkan tawaran digital kami, berpindah ke ibu pejabat baharu, melancarkan jenama diperbaharui, menjalin kerjasama strategik baharu, meningkatkan pelaburan terhadap pembangunan tenaga kerja dan menghidupkan semula program CSR,” tambah beliau.

    Kenyataan menjelaskan, World Finance majalah suku tahunan dan dalam talian yang menyediakan liputan dan analisis menyeluruh mengenai industri kewangan, perniagaan antarabangsa dan ekonomi global.

    Majalah berkenaan menyasarkan pembaca profesional kewangan serta pelabur korporat dan persendirian, tetapi penulisannya yang jelas membuatkannya pembacaan yang mudah dan penting untuk semua orang yang ingin memahami situasi kewangan dalam abad ke-21.

    Terdahulu tahun ini, Bank Baiduri menerima dua anugerah antarabangsa lain iaitu Kumpulan Perbankan Terbaik Brunei bagi 2021 dan Pentadbiran Korporat dan CSR Terbaik 2021 daripada International Investor.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda