BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Bank Baiduri berjaya mengekalkan penarafan kredit penerbit pada A-/A-2 dengan Prospek Stabil daripada Penarafan Global Standard & Poor’s (S&P).
Dalam kenyataan yang diterima daripada Bank Baiduri, hari ini, pencapaian tersebut menandakan tahun ketiga berturut-turut di mana bank mencapai penarafan A, sekali gus menekankan kewangan Bank Baiduri yang teguh, prospek yang stabil serta daya tahan yang berterusan di tengah-tengah landskap ekonomi yang berkembang pesat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, “Penilaian ini mencerminkan kedudukan pasaran dan kewangan Bank Baiduri yang kukuh di mana pengurusan modal kami yang berkesan, asas deposit yang mantap dan kepentingan sistemik menunjukkan komitmen berterusan kami terhadap kestabilan dan pertumbuhan kewangan.
“Kami berdedikasi untuk memberikan nilai yang luar biasa kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Brunei,” ujarnya.
Menurut S&P, penarafan kredit jangka panjang adalah dua peringkat lebih tinggi daripada profil kredit bank itu sendiri, yang boleh disumbangkan kepada permodalan teguh yang disokong oleh rekod prestasi keuntungan yang baik serta pengurusan modal yang dinamik.
Penarafan itu mencerminkan jangkaan S&P bahawa bank itu akan mengekalkan kestabilan perniagaan dan francaisnya, yang mempunyai cawangan kedua terbesar dan rangkaian ATM di negara ini.
Dirangsang oleh asas pelanggan yang komprehensif dan portfolio pinjaman korporat yang semakin berkembang, Bank Baiduri sedang menerajui pasaran dengan permodalan yang kukuh, di mana nisbah modal terlaras risiko (RAC) diunjurkan kekal stabil antara 17.1 peratus dan 18 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.
Keutuhan penampan modal dikekalkan melalui keuntungan yang kukuh dan pengurusan modal yang berkesan, justeru memastikan bank berkeupayaan menyokong pertumbuhan yang mampan.
Laporan itu seterusnya menekankan profil pembiayaan dan kecairan bank yang stabil. Bank Baiduri mendapat manfaat daripada asas deposit yang mantap, dengan sejumlah besar akaun semasa dan simpanan kos rendah (CASA).
Nisbah perlindungan kecairannya kekal melebihi 100 peratus, mencerminkan kedudukan kecairan yang kukuh yang menyokong operasi dan pertumbuhan secara berterusan.
S&P ialah penyedia penarafan kredit terkemuka di dunia.
Dengan lebih daripada satu juta penarafan kredit bagi kerajaan, korporat, sektor kewangan dan entiti dan sekuriti kewangan berstruktur, penarafan S&P adalah penting untuk memacu pertumbuhan, menyediakan ketelusan serta membantu mendidik peserta pasaran supaya mereka boleh membuat keputusan dengan yakin.