BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Bank Baiduri melancarkan kempen Big Dreams Grow with Smart Savings, satu kempen deposit tetap yang bertujuan menggalakkan rakyat Brunei mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menabung.
Berlangsung dari 25 Ogos hingga 30 November, kempen ini menawarkan peluang kepada pelanggan yang membuka akaun deposit tetap 12 bulan dengan dana baharu untuk memenangi Royal Skies miles menerusi beberapa cabutan bulanan dan cabutan utama.
Penyertaan dibuka kepada dua segmen pelanggan iaitu pelanggan umum bank dan pelanggan Baiduri Prestige.
Setiap segmen mempunyai kumpulan hadiah masing-masing dengan nilai hadiah yang sama.
Kempen ini akan menampilkan cabutan bulanan pada September dan Oktober, di mana tiga pemenang daripada setiap segmen akan menerima 5,000 Royal Skies miles.

Kempen akan berakhir dengan cabutan utama pada Disember, yang akan menyaksikan enam pemenang daripada setiap segmen. Dalam kedua-dua segmen, pemenang hadiah utama akan menerima 150,000 Royal Skies miles, diikuti 75,000 miles untuk tempat kedua, 35,000 miles untuk tempat ketiga, serta 5,000 miles setiap seorang bagi tempat keempat, kelima dan keenam.
Pelanggan boleh membuka akaun deposit tetap 12 bulan dengan dana baharu di mana-mana cawangan Bank Baiduri, manakala pelanggan Prestige boleh menghubungi pengurus perhubungan masing-masing untuk menguruskan penempatan sebagai sebahagian daripada strategi perancangan kekayaan mereka.
Kempen ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif lebih luas Bank Baiduri, Grow with Us – yang bertujuan membantu individu, keluarga dan perniagaan memperkukuh asas kewangan mereka.
Melalui Grow with Us, bank berusaha memperkasakan pelanggan dengan alat, ilmu pengetahuan dan sokongan peribadi yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yakin pada setiap peringkat kehidupan.
Mengulas mengenai kempen ini, Ketua Perbankan Runcit Bank Baiduri, Lim Kian Chiong berkata, “Kempen ini mencerminkan keyakinan kami bahawa setiap rakyat Brunei berhak membina masa depan kewangan yang kukuh. Dengan menggalakkan tabungan sihat, kami bukan sahaja memberi ganjaran kepada pelanggan atas simpanan mereka, tetapi juga memperkasakan mereka untuk menambah keyakinan kewangan.
“Sama ada baru bermula atau sedang merancang masa hadapan, matlamat kami ialah menyediakan alat, akses dan sokongan yang betul bagi membantu mereka membuat pilihan yang bijak serta bermakna.”
Akaun deposit tetap kekal sebagai salah satu cara paling selamat dan berdisiplin untuk mengembangkan simpanan, dengan kadar faedah lebih menarik berbanding akaun simpanan biasa. Ia menawarkan pilihan risiko rendah bagi pelanggan yang ingin mengekalkan serta menambah nilai kekayaan dari semasa ke semasa.
Kempen ini turut memberikan ganjaran gaya hidup dalam bentuk Royal Skies miles, yang boleh digunakan untuk penjimatan perjalanan akan datang.
Ia menjadi cara bermakna untuk menukar disiplin kewangan kepada pengalaman berharga, sekali gus mengukuhkan kepentingan perancangan awal.

