Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri menang anugerah berprestij berturut-turut

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Untuk tahun ke-12 berturut-turut, prestasi cemerlang dan dedikasi berterusan Bank Baiduri kepada kecemerlangan perkhidmatan telah membawanya meraih kemenangan gelaran berprestij sebagai Domestic Retail Bank of the Year bagi Brunei, semasa berlangsungnya Retail Banking Awards 2024 di Marina Bay Sands, Singapura.

    Anugerah terkemuka berkenaan yang telah disampaikan oleh Perbankan dan Kewangan Asia (ABF) itu mengiktiraf pemimpin-pemimpin industri yang luar biasa yang telah memperkenalkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian termaju yang memberi kesan positif kepada pelanggan mereka.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna, Manuel Bulens; dan Ketua Perbankan Runcit, Bank Baiduri, Lim Kian Chiong.

    Dalam petikan, ABF menyatakan bahawa pengiktirafan Bank Baiduri tahun ini adalah bukti prestasi luar biasanya pada 2023, yang dicapai melalui usaha berdedikasi merentas bahagian utama yang secara signifikan meningkatkan deposit bank dan kekuatan kunci kira-kira keseluruhan.

    Pada tahun lalu, keuntungan bersih melonjak sebanyak 37.55 peratus, memberi kesan positif kepada nisbah modal bank, pulangan ke atas aset dan pulangan ke atas ekuiti.

    Jumlah aset menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 11.50 peratus dalam tempoh yang sama.

    Bank Baiduri telah dianugerahkan Domestic Retail Bank of the Year bagi Brunei, semasa berlangsungnya Retail Banking Awards 2024 di Marina Bay Sands, Singapura. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Petikan anugerah itu juga menyerlahkan usaha pemodenan Bank Baiduri, khususnya dalam pengurusan risiko kredit melalui kecerdasan buatan (AI). Kerjasama bank dengan Finbots.ai untuk mengguna pakai penyelesaian pengurusan risiko kredit dipacu AI, creditX, menandakan langkah strategik untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan risiko dalam pinjaman runcit dan PKS.

    Inisiatif ini menandakan komitmen Bank Baiduri terhadap kemajuan teknologi dan pengalaman pelanggan yang lebih baik dalam perkhidmatan kredit.

    Bank Baiduri juga mengorak langkah dalam inovasi digital melalui projek berterusannya untuk mengalihkan platform perbankan terasnya kepada cloud di bawah model SaaS melalui perkongsian dengan Temenos.

    Projek ini meletakkan Bank Baiduri sebagai yang pertama di Brunei yang menggunakan model sedemikian, menunjukkan komitmennya untuk kekal di barisan hadapan dalam teknologi perbankan.

    Pelancaran Baiduri QPay juga merupakan acara kemuncak, mempamerkan usaha berterusan bank untuk menyampaikan pengalaman yang mengutamakan digital. Dompet digital (digital wallet) ini membolehkan pemegang kad debit UnionPay mengimbas dan membayar di cawangan yang mengambil bahagian dalam dan luar negara, sejajar dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei 2025.

    Mengulas mengenai anugerah itu, Manuel Bulens, berkata, mereka benar-benar berbesar hati untuk sekali lagi diiktiraf oleh ABF. Anugerah ini adalah hasil daripada komitmen tidak berbelah bahagi para kakitangan bank berkenaan untuk terus meningkatkan perkhidmatan dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan komuniti.

    “Pencapaian kami pada tahun lalu menyerlahkan dedikasi kami kepada penyelesaian yang inovatif dan prestasi kewangan yang kukuh.

    Terima kasih yang tidak terhingga kami atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka,” tambahnya.

    Sejak 2006, program anugerah itu memberi penghormatan kepada bank-bank cemerlang yang telah terbukti menjadi pengubah permainan industri dalam industri perbankan dan kewangan di Asia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda