Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Bank Baiduri meneruskan perjalanan ke arah kemampanan dengan peralihan kad-kad kredit dan debitnya kepada bahan mesra alam, bio-sourced polylactoc acid (PLA).
Menurut kenyataan Bank Baiduri, inisiatif yang dilancarkan dengan kolaborasi Thales iaitu peneraju dalam inovasi dan teknologi itu menandakan langkah yang signifikan dalam pengintegrasian amalan-amalan kemampanan dalam operasi perbankan bank berkenaan.
Ketua Perbankan Runcit, Bank Baiduri, Lim Kian Chiong dipetik menyatakan peralihan mereka kepada kad PLA mencerminkan komitmen mereka untuk mengurangkan jejak alam sekitar serta mengintegrasikan amalan-amalan mesra alam dalam perniagaan mereka.
Dengan memanfaatkan penyelesaian inovatif dari Thales, jelasnya, bank berhasrat menyediakan pelanggan mereka dengan pilihan pembayaran mesra alam sekitar yang selaras dengan nilai-nilai kemampanan dan tanggungjawab korporat.
Peralihan itu bermula pada separuh tahun kedua 2024, bermula dengan kad-kad debit. Kad PLA akan dikeluarkan bagi kesemua pendaftaran kad baharu dan semasa pembaharuan kad bagi pemegang kad sedia ada, dengan tujuan kesemua kad-kad debit dan kredit Bank Baiduri ditukar kepada bahan mesra alam secara berperingkat.
Kad-kad PLA yang bukan berasaskan petroleum, bukan toksik bila dibakar serta terbiodegradasi dalam tempoh enam bulan, memenuhi standard kualiti antarabangsa sambil mengekalkan teknologi pembayaran canggih bagi transaksi lancar serta selamat.
Melengkapi usahanya mengurangkan sisa fizikal, Bank Baiduri secara aktif mempromosikan penyelesaian perbankan tanpa kertas termasuk perkhidmatan digital seperti perbankan dalam talian, e-penyata dan inovasi terkininya, Baiduri Tap2Pay, penyelesaian Near Field Communication (NFC) yang mentransformasikan peranti mudah alih pedagangan kepada terminal POS, sekali gus membolehkan pelanggan membuat pembayaran tanpa sentuhan dengan mudah.
Di samping peralihan kepada bahan kad mesra alam, Bank Baiduri juga melaksanakan beberapa inisiatif mempromosikan kemampanan alam sekitar.
Ia merangkumi operasi cekap tenaga di mana bank itu menggunapakai amalan cekap tenaga di cawangan-cawangan dan pejabat-pejabatnya termasuk penggunakan LED dan peralatan menjimat tenaga.