Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Kira-kira 100 wartawan, penyunting, pencipta kandungan, jurugambar dan juruvideo telah diraikan dalam Majlis Malam Penghargaan Media Bank Baiduri, yang diadakan di Dewan Bankuet Hotel J, baru-baru ini.
Majlis anjuran Bank Baiduri yang bertemakan hitam putih itu adalah untuk menghargai sumbangan media tempatan dan pencipta yang memainkan peranan penting dalam memastikan orang ramai mendapat maklumat di samping mengukuhkan komuniti.
Hadir dan seterusnya menyampaikan ucapan alu-aluan pada acara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui.
Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa terima kasih dengan menyatakan dalam dunia yang penuh dengan maklumat, mereka amat menghargai peranan organisasi media dan pencipta kandungan dalam menegakkan nilai ketepatan, tanggungjawab dan kejujuran.
“Dengan berkongsi berita yang seimbang dan boleh dipercayai, awda membantu membentuk komuniti yang bermaklumat dan berdaya tahan, dan kami berbesar hati untuk bekerjasama bersama mereka dalam usaha ini,” ujarnya.
Beliau turut menambah, semasa meraikan ulang tahun ke-30 tahun, pihak bank mengharapkan kerjasama selanjutnya dengan media dan bakat kreatif untuk memupuk inisiatif bermakna yang menyokong budaya Brunei, kese-jahteraan kewangan dan masa depan yang mampan.