Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri rai graduan Kitaran 3 GAP

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Bank Baiduri telah meraikan dan mengiktiraf pencapaian para graduan Kitaran 3 Graduate Apprenticeship Programme (GAP) dengan majlis tamat pengajian yang diadakan Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

    Majlis yang menandakan selesainya program selama enam bulan itu dihadiri oleh para perantis dan alumni GAP, ketua-ketua jabatan dan ahli jawatankuasa pengurusan bank.

    Pada majlis itu, para perantis menerima sijil tamat program dan setiap perantis berpeluang memberikan penerangan ringkas tentang perjalanan dan pertumbuhan mereka semasa program itu, termasuk imbasan pelbagai acara yang disertai.

    Daripada kitaran kali ini, tiga perantis telah ditawarkan pekerjaan tetap dalam Kumpulan Bank Baiduri.

    Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui memuji para perantis atas pencapaian mereka dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada Kumpulan Bank Baiduri sepanjang tahun.

    Ti Eng Hui memberikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    Ti Eng Hui dan para graduan bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Beliau menekankan permintaan besar untuk program seperti GAP dan peranannya dalam memudahkan pembangunan profesional graduan tempatan.

    “GAP menawarkan peluang unik kepada graduan untuk memperoleh pengalaman kerja yang berharga dan bertapak lebih kukuh dalam pasaran kerja.

    “Sepanjang berada di sini, perantis kami bukan sahaja mengikuti kursus untuk memperoleh kemahiran insaniah seperti komunikasi yang berkesan, pengurusan projek, dan kerja berpasukan tetapi juga mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif komuniti,” jelas beliau.

    Semasa perantisan mereka, mereka menganjurkan dan mengetuai lima acara yang berjaya, termasuk kempen derma darah tahunan Bank Baiduri, Pembersihan Pantai Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (EWI), dan Hari Terbuka Kitaran 4 GAP baru-baru ini.

    Sebagai sebahagian daripada pembelajaran pengalaman, para perantis menghabiskan lima bulan di pelbagai jabatan, termasuk Risiko, Audit Dalaman, Pematuhan, Sumber-sumber Manusia, Pemasaran dan Komunikasi Strategik, dan IT.

    Program tersebut kini sedang menerima permohonan untuk kitaran keempat yang terbuka kepada warganegara Brunei dan penduduk tetap yang menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun kebelakangan dengan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dan tiada pengalaman kerja terdahulu.

    Calon yang berminat boleh mengemukakan resume terkini dan salinan sijil pendidikan tertinggi melalui portal pengambilan dalam talian di laman sesawang bank tersebut.

    Permohonan dibuka pada 1 November dan akan ditutup pada 31 Disember depan.

    Butiran lanjut tentang program dan peluang kerjaya dengan Kumpulan Bank Baiduri, boleh didapati melalui media sosial bank atau laman www.baiduri.com.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda