Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Bagi tahun ke-11 secara berturut-turut, Bank Baiduri sekali lagi memperoleh pencapaian pensijilan Payment Card Industry Data Security Standard (PCI-DSS) Versi 4.0, baru-baru ini.
Pencapaian terbaharu itu menunjukkan komitmen berterusan bank untuk melindungi data pelanggan dan mematuhi piawaian keselamatan pembayaran yang tertinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, menyatakan, dengan mencapai pensijilan PCI-DSS v4.0 menyerlahkan komitmen bank yang tidak berbelah bahagi untuk melindungi data pelanggan mereka dan menegakkan standard keselamatan tertinggi.
“Di Bank Baiduri, kepercayaan adalah asas kepada semua yang kami lakukan, dan pensijilan ini mengukuhkan dedikasi kami untuk menyampaikan pengalaman kewangan yang selamat dan lancar,” tambahnya.
Pensijilan PCI-DSS v4.0 ialah pencapaian penting, mencerminkan pendekatan proaktif Bank Baiduri untuk memenuhi skop yang diperluas dan keperluan yang dipertingkatkan bagi standard terkini. Pensijilan itu dijalankan oleh ControlCase, penilai keselamatan berkelayakan yang diperakui oleh Majlis Piawaian Keselamatan PCI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Maklumat Bank Baiduri, Simon Hansman, turut berkongsi, mereka sangat teruja untuk mengumumkan pencapaian ini, mencerminkan dedikasi bank untuk memenuhi peningkatan skop dan keperluan ketat PCI-DSS v4.0.
Pencapaian tersebut menunjukkan pendekatan proaktif bank untuk menangani ancaman yang muncul dan memastikan tahap keselamatan tertinggi untuk pelanggan mereka.
Perlindungan data ialah satu perjalanan, bukan destinasi dan mereka tetap teguh dalam komitmen untuk terus meningkatkan sistem dan proses mereka.
PCI-DSS ialah piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menjamin transaksi kad kredit dan data pemegang kad, yang dibangunkan oleh Majlis Piawaian Keselamatan Industri Kad Pembayaran. Versi 4.0 memperkenalkan keperluan yang ketat dan amalan terbaik yang dikemas kini untuk membina dan mengekalkan rangkaian dan sistem yang selamat, melindungi data pemegang kad, mengurus kelemahan dan melaksanakan langkah kawalan akses yang kukuh.
Proses pensijilan termasuk penilaian menyeluruh terhadap sistem, operasi dan kawalan keselamatan Bank Baiduri untuk memastikan pematuhan dengan piawaian terkini.
Perkhidmatan utama yang dinilai termasuk perbankan Internet, operasi ATM dan POS, pemantauan penipuan dan pengeluaran kad.
Pencapaian tersebut sejajar dengan strategi digital Bank Baiduri yang berterusan dan komitmen terhadap kepercayaan pelanggan dengan menyepadukan langkah keselamatan peneraju industri untuk melindungi data sensitif.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan berpandangan ke hadapan, pihak bank akan terus meningkatkan keupayaannya untuk menangani ancaman keselamatan yang berkembang dan memberikan pengalaman perbankan yang selamat.