BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Bank Baiduri baru-baru ini menganjurkan Malam Penghargaan Pelanggan sempena perayaan Deepavali, Festival Cahaya, di Dewan Indera Kayangan, The Empire Brunei. Acara tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka, sambil menghayati semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya yang dibawa oleh perayaan Deepavali.
Majlis diserikan oleh tetamu kehormat iaitu wakil peribadi kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Pushpa Abbagani. Para tetamu menikmati kemeriahan persembahan nyanyian dan tarian, serta sajian istimewa bersempena Deepavali. Acara tersebut turut memberikan peluang kepada para pelanggan untuk berinteraksi dengan barisan kepimpinan dan pengurus hubungan Bank Baiduri dalam suasana yang mesra dan harmoni.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, berkata, “Deepavali adalah masa untuk cahaya, harapan dan kebersamaan.
“Perayaan ini mencerminkan penghargaan kami terhadap hubungan yang telah terjalin dengan para pelanggan serta komitmen kami untuk memupuk ikatan yang bermakna. Kami percaya setiap interaksi adalah peluang untuk mencipta nilai dan mengukuhkan kepercayaan.”



