Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Bank Baiduri secara rasmi menyertai United Nations Global Compact (UNGC), menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kemampanan bank tersebut.
Majlis menandatangani perjanjian berlangsung hari ini, menunjukkan komitmen bank untuk menerima pakai amalan mampan sejajar dengan piawaian dan prinsip global.
UNGC merupakan inisiatif kemampanan korporat terbesar di dunia, yang menyokong perniagaan dalam menyelaraskan strategi dan operasi dengan 10 prinsip sejagat dalam bidang hak asasi manusia, buruh, alam sekitar dan anti-rasuah.
Dengan menyertai inisiatif tersebut, organisasi mendapat akses kepada rangkaian pemimpin global dan sumber untuk membina model perniagaan yang mampan sambil menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, menegaskan kepentingan keahlian itu, berkata, “Mencapai kemampanan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama merentas sempadan dan industri.”
Beliau turut menyatakan, “Melalui UNGC, kami berharap dapat bekerjasama dengan pemimpin global, berkongsi amalan terbaik dan secara kolektif menangani cabaran yang kami hadapi dalam membina masa depan yang mampan.”
Kemampanan sentiasa menjadi sebahagian daripada cara operasi Bank Baiduri. Dari ibu pejabat mereka yang diperakui Green Mark hingga usaha perintis dalam penggunaan teknologi dan pembiayaan mampan, bank tersebut komited untuk memacu kemajuan merentasi tonggak Masyarakat, Proses dan Planet.
Pada majlis itu, wakil dari UNGC Network Malaysia & Brunei, Pengarah Eksekutif, Faroze Nadar; Ketua Ahli Perhubungan, Tan Zhi Ying; dan Ahli Perhubungan, Nur Aisya, menekankan kepentingan platform kerjasama Compact dalam memajukan pembangunan mampan.
Faroze turut berbesar hati mengalu-alukan Bank Baiduri ke UNGC Network Malaysia & Brunei, dengan menyatakan bahawa penyertaan mereka mencerminkan komitmen kuat untuk memajukan kemampanan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab.
Faroze menambah, “Sebagai sebahagian daripada rangkaian kami yang semakin berkembang, Bank Baiduri berada pada kedudukan yang baik untuk bekerjasama dengan organisasi yang berfikiran sama dan memupuk visi bersama untuk masa hadapan yang lebih mampan.”
Perjalanan Bank Baiduri menuju kemampanan ialah usaha progresif dengan tanggungjawab korporat yang kukuh dan visi untuk mencipta impak positif bagi generasi akan datang.
Program CSR bank yang mantap dan komprehensif menyokong strategi kemampanan melalui kempen celik kewangan, usaha pemuliharaan alam sekitar, pemerkasaan PKS tempatan, dan penandatanganan berkenaan bukan sekadar ikrar tetapi janji untuk terus berinovasi, bekerjasama dan memberi sumbangan bermakna kepada kemampanan pada skala tempatan dan global.