Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Bank Baiduri telah diiktiraf sebagai Bank Terbaik di Brunei (Best Bank in Brunei) dalam Anugerah FinanceAsia tahun ini sekali gus menonjolkan prestasi kewangan Bank yang memecah rekod pada 2024 serta kecemerlangan berterusan merentas inovasi, transformasi digital dan pengembangan serantau.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, menyatakan Anugerah FinanceAsia meraikan institusi-institusi kewangan prestasi terbaik di seluruh Asia Pasifik dan pengiktirafan buat kali pertama kepada Bank Baiduri mengukuhkan lagi hala tuju strategik dan komitmennya untuk menyampaikan nilai jangka panjang bagi pihak berkepentingan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata, “Pengiktirafan ini mencerminkan kemajuan penting yang telah kami lakukan sebagai sebuah bank—memasuki pasaran baharu, mengukuhkan keupayaan digital kami dan meluaskan tawaran korporat kami,”
“Ia mengukuhkan misi kami untuk mencipta penyelesaian perbankan yang berkesan untuk pelanggan, komuniti dan rakan kongsi kami,” tambahnya lagi.
Pada Mei lalu, Bank Baiduri mengambil langkah bersejarah melangkaui sempadan Brunei dengan membuka sebuah pejabat perwakilan di Singapura. Langkah itu mengukuhkan lagi keberadaan serantau bank, menyokong perkhidmatan kewangan rentas sempadan dan membolehkan penglibatan lebih mendalam dengan klien institusi sambil juga meletakkan Brunei sebagai sebuah destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing.
Bank Baiduri juga memajukan agenda digitalnya dengan melancarkan Baiduri Invest dan aplikasi SaaS yang cekap dan inovatif untuk menyediakan pengalaman yang lebih lancar dan khusus kepada pelanggan.
Bagi menyokong keterangkuman kewangan serantau, Baiduri Bank mengambil bahagian dalam kemudahan Atome Financial berjumlah AS$ 200 juta dalam usaha memperluaskan akses kepada pinjaman digital dan perkhidmatan beli sekarang bayar merentasi pasaran Asia Tenggara.
Dalam Perbankan Korporat, Bank Baiduri melancarkan penambahbaikan utama pada 2024, termasuk pelancaran platform baharu iaitu Corporate Loan Origination, satu automasi pelaporan MI dan pembiayaan perdagangan serta aliran kerja yang direkayasa semula, yang mana menghasilkan masa pemulihan yang lebih cepat, kawalan risiko yang lebih kukuh dan kecekapan operasi yang lebih baik.
Bank Baiduri turut memperkenalkan Baiduri Greenprint yang merupakan rangka kerja strategik yang berteraskan tiga tunggak utama iaitu manusia, proses dan planet. Sistem berkenaan yang dibangunkan melalui Materiality Assessment yang komprehensif, Greenprint berkenaan menggariskan keutamaan Baiduri Bank berkenaan dalam memacu perkembangan bermakna bagi pihak berkepentingan, operasi dan alam sekitar.


