Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Bank Baiduri telah diiktiraf sebagai Bank Terbaik di Brunei 2023 oleh penerbitan kewangan Euromoney yang berpangkalan di United Kingdom (UK), buat dua tahun berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui telah menghadiri majlis anugerah yang diadakan di The Conrad Hong Kong, baru-baru ini sebagai sebahagian daripada Anugerah Euromoney untuk Kecemerlangan 2023.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh bank berkenaan hari ini, Euromoney mengiktiraf kecemerlangan prestasi keseluruhan Bank Baiduri dengan menyatakan bahawa Bank Baiduri kekal sebagai bank yang menonjol di Brunei.
Ia bukan sahaja disebabkan pertumbuhan kewangan yang kukuh, tetapi kerana komitmen terhadap pendigitalan yang telah meningkatkan keupayaan bank berkenaan dalam segala hal daripada analisis data kepada perkhidmatan pelanggan.
Dengan pengiktirafan itu, Ti Eng Hui berkata, “Ia adalah satu penghormatan bagi kami untuk sekali lagi dinobatkan sebagai Bank Terbaik Brunei oleh Euromoney pada 2023 dan pengiktirafan ini adalah bukti kejayaan strategi yang kami tetapkan, dan pasukan yang berdedikasi dalam memberikan hasil yang mampan walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkepentingan, rakan kongsi perniagaan dan pelanggan kami atas kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” jelasnya.
Katanya lagi, “Penghargaan seperti ini mengukuhkan komitmen kami untuk sentiasa mengutamakan pelanggan kami, dan mencari cara baharu bagi memperkasakan komuniti kami.”
Pada 2022, keuntungan bersih bank berkenaan telah meningkat sebanyak 12.1 peratus dari tahun ke tahun kepada $65.6 juta, manakala pulangan ke atas ekuiti meningkat kepada 12.77 peratus.
Euromoney turut memuji Bank Baiduri kerana membina secara strategik keupayaan dalaman sebagai sebahagian daripada perjalanan trans-formasi digitalnya.
Bank Baiduri juga bekerjasama dengan Accel-backed finbots.ai, iaitu firma teknologi kewangan SaaS beribu pejabat di Singapura untuk memodenkan pengurusan risiko kredit menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Di samping itu, bank berkenaan secara aktif menggunakan teknologi baharu muncul di bawah unit Fintech dan DevOps, termasuk Robotic Process Automation (RPA) dan perkhidmatan mikro baharu dengan tujuan bagi membantu mengautomasikan aliran kerja sedia ada dan meningkatkan kecekapan operasi.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi, Bank Baiduri, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah, dan Ketua Pemasaran dan Komunikasi Strategik Kumpulan, Bank Baiduri, Ng Yick Wei.
Anugerah Euromoney untuk Kecemerlangan dianggap secara meluas sebagai salah satu anugerah yang paling dihormati dalam industri perbankan global dan dilihat sebagai pengesahan kecemerlangan dan amalan terbaik.

