Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri tingkat kesedaran mental di tempat kerja

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Dalam meraikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Bank Baiduri, melalui Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (EWI), bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan acara kesedaran kesihatan mental dan kesejahteraan tempat kerja di kawasan South Lawn, Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin.

    Antara yang hadir pada acara berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British, Catherine Pochkhanavala-Cleeve; Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna di Bank Baiduri, Manuel Bulens.

    Dalam ucapan perasmiannya, Manuel Bulens berkata, melalui EWI, Bank Baiduri telah mengorak langkah penting dalam memupuk kesejahteraan mental dalam kalangan pekerja.

    Acara sedemikian memainkan peranan penting dalam memecahkan stigma yang menyelubungi kesihatan mental, mengukuhkan idea bahawa ia adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya tanggungjawab individu.

    Selaras dengan tema tahun ini, Kesihatan Mental di Tempat Kerja, Bank Baiduri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif inovatif sebagai sebahagian daripada EWI bank berkenaan, yang bertujuan untuk memupuk budaya kesejahteraan holistik dalam organisasi. Inisiatif itu termasuk siri tetap aktiviti kesihatan dalaman Feel Good Fridays, dan cabaran korporat BN on the Move, yang telah mencapai jumlah yang mengagumkan sebanyak 60 juta langkah.

    Antara yang terlibat dalam acara kesedaran kesihatan mental dan kesejahteraan di tempat kerja yang diadakan di Ibu Pejabat Bank Baiduri. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    Antara aktiviti yang diadakan semasa acara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Selain itu, Bank Baiduri menganjurkan forum kesejahteraan tempat kerja tahunannya dan kerap menganjurkan aktiviti yang mengutamakan kesihatan mental, fizikal, rohani dan kewangan sebagai tunjang utama yang berfungsi sebagai asas EWI. Komitmen ini juga selari dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mempromosikan kualiti hidup yang tinggi melalui gaya hidup sihat, menekankan kepentingan memupuk tenaga kerja yang lebih sihat dan produktif.

    Dalam pada itu, Catherine Pochkhanavala-Cleeve menekankan kepentingan kesihatan mental di tempat kerja, dengan menyatakan, lima kakitangan mereka kini diperakui sebagai Mental Health First Aiders dan mereka komited untuk memupuk persekitaran yang menyokong.

    “Melalui kerjasama kami dengan Bank Baiduri dalam acara seperti ini, kami menyasarkan untuk mempromosikan perbualan terbuka tentang kesihatan mental dan menyediakan alat penting bagi individu menguruskan kesejahteraan mereka, akhirnya menyumbang kepada komuniti yang lebih sihat dan produktif,” ujarnya.

    Acara itu turut diserikan dengan sesi terapi seni unik oleh ASEAN Youth Advocates Network (AYAN), menyediakan platform kreatif untuk meneroka emosi dan kesejahteraan mental melalui seni.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda