Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Sempena ulang tahunnya yang ke-25, Bank Baiduri telah mengumumkan promosi terbaharu dengan kerjasama Supa Save iaitu Make Shopping a Ride.
Dalam promosi yang berjalan sehingga awal Oktober itu, Bank Baiduri menjelaskan, para pemegang kad kredit dan debit Baiduri yang membelanjakan jumlah minimum dalam satu resit berpeluang memenangi hadiah dalam cabutan bertuah. Pemegang Kad Debit Baiduri Supa Save pula akan menerima peluang berganda.
Pemenang berpeluang memenangi BMW Motorrad R 1250 GS, baucar membeli-belah masing-masing bernilai $3,000, $1,500 dan $500 serta hadiah bulanan berupa baucar membeli-belah bernilai $150.
Ketua Perbankan Runcit Bank Baiduri, Lim Kian Chiong dipetik berkata, kerjasama berkenaan merupakan bukti komitmen bank untuk menyediakan pelanggan dengan tawaran dan promosi terbaik.
“Kami percaya bahawa kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pelanggan sambil kami berusaha ke arah mencapai matlamat bersama untuk memberikan kepuasan pelanggan yang tiada tandingannya,” tambah beliau.