BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Bank Baiduri, dengan kerjasama United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), berjaya menganjurkan acara rangkaian eksklusif, The Business of Sustainability: A Strategic Engagement for Bruneian Leaders yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri.
Acara itu menghimpunkan pemimpin berpengaruh dari industri minyak dan gas, tenaga dan maritim Brunei Darussalam untuk meneroka bagaimana kemampanan boleh disepadukan pada tahap strategik bagi mengukuhkan daya tahan perniagaan, menyokong kepelbagaian portfolio serta memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Pada acara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui turut berkongsi beberapa pandangan tentang perjalanan bank melalui penandatanganan dengan UN Global Compact; yang mana Pakar Ekonomi Kanan di Pejabat Penyelaras Residen PBB, Dr Richard Colin Marshall menekankan tentang kepentingan makroekonomi bagi kemampanan di Asia Tenggara; February Yoon Ping dari CIMB Bank pula mengonsikan bagaimana institusi kewangan merupakan pemboleh dan pemacu kemampanan korporat; manakala Nurasyikin Rosni dari Telekom Malaysia Berhad berkongsi bagaimana tulang belakang digital Malaysia memajukan kemampanan untuk membina daya tahan dan daya saing jangka panjang; dan Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar yang memperkenalkan alat dan rangka kerja strategik sedia ada bagi perniagaan Brunei agar berdaya tahan dan bersedia menangani cabaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Perhimpunan komuniti perniagaan Brunei hari ini adalah lebih daripada dialog ia adalah mengenai membina momentum ke arah masa depan lebih mampan yang menyumbang secara langsung kepada aspirasi Wawasan 2035. Kemampanan bukan lagi pilihan; ia penting kepada daya tahan perniagaan, kepelbagaian portfolio dan penciptaan nilai jangka panjang. Dengan bertukar-tukar idea dan berkongsi kepakaran, kami boleh membentuk kedua-dua strategi ekonomi untuk menjana alam sekitar secara kolektif,” kata Ti Eng Hui.
Menjelaskan hal ini, Faroze Nadar, Pengarah Eksekutif UNGCMYB menegaskan, “Ketahanan dan daya saing perniagaan semakin terikat dengan kemampanan. Penglibatan ini bukan sekadar platform untuk perbincangan ia adalah seruan untuk bertindak. Kita mesti mempercepatkan usaha, memberi kesan skala, dan membawa lebih banyak syarikat ke dalam perjalanan dan perniagaan Brunei berpotensi untuk menjadi contoh kepada dunia”.
Acara itu juga menekankan komitmen jangka panjang Bank Baiduri untuk memajukan agenda kemampanan negara ini. Awal tahun ini, bank berkenaan menjadi satu-satunya pembiaya projek solar terbesar Brunei, satu peristiwa penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga boleh diperbaharui negara, sejajar dengan sasaran Brunei di bawah kedua-dua Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei (BNCCP) dan Nationally Determined Contribution (NDC) Brunei.
Selain itu, bank berkenaan juga telah menyokong agenda iklim negara dengan menganjurkan Bengkel Kecekapan Tenaga bersama Jabatan Tenaga dan Pejabat Perubahan Iklim Brunei pada Ogos, melengkapkan perusahaan kecil-sederhana dan korporat dengan alat praktikal untuk pengurusan tenaga dan peralihan. Inisiatif seumpama itu mencerminkan peranan bank tersebut yang semakin meningkat sebagai pemangkin untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ke arah ekonomi yang dinamik dan mampan.




