Bank digital bakal rangsang inovasi kewangan

KUALA LUMPUR, 27 MEI – Meskipun bank digital adalah inovator berbanding bank tradisional dan akan meningkatkan persaingan, impaknya dijangka terhad dalam tempoh tiga tahun akan datang memandangkan sekatan kawal selia ke atas saiz asetnya iaitu tidak melebihi RM2 bilion, kata RAM Rating Sdn Bhd (RAM Ratings).

Agensi penarafan kredit itu berkata bank digital dijangka merangsang lebih banyak inovasi kewangan dan mempercepat transformasi digital industri perbankan Malaysia, tetapi secara keseluruhannya, aset lima bank digital itu hanya mewakili  0.3 peratus daripada industri.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga memerlukan bank-bank digital menumpukan kepada inklusi kewangan bagi menangani jurang pasaran dalam segmen yang kurang mendapat liputan.

“Ini akan mengurangkan persaingan sengit dengan bank tradisional dalam pasaran runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Ketua Bersama Penafaran Institusi Kewangan RAM Ratings Sophia Lee bersempena dengan komentar terbaharu yang dikeluarkan RAM bertajuk ‘Digital banks will spur financial innovation, not yet a threat to traditional banks.’

Langkah BNM yang mengeluarkan sehingga lima lesen perbankan digital telah menarik pelbagai pemohon yang berpotensi, termasuk syarikat teknologi, pemain teknologi kewangan (fintech) dan institusi kewangan yang berusaha merebut bahagian pasaran perbankan digital.

Dengan menggunakan teknologi berdasarkan kepada kecerdasan buatan (AI) atau bentuk algoritma prediktif lain bersama dengan analisis data raya, bank digital boleh melaksanakan penilaian alternatif risiko kredit bagi membolehkan inklusi kewangan yang lebih baik dan mempunyai kelebihan kos operasi rendah memandangkan kurangnya intervensi manusia.

Penerima yang berpotensi termasuklah lapan peratus daripada penduduk dewasa yang tidak menggunakan khidmat bank di Malaysia serta perusahaan kecil dan mikro yang tidak dapat mengakses pembiayaan bank tradisional. – Bernama