Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Dunia beri sokongan kepada bank-bank di Sri Lanka

    COLOMBO, 10 NOV – Bank Dunia hari ini menyediakan AS$150 juta kepada Sri Lanka untuk menjamin simpanan berjuta-juta pendepositnya dalam satu langkah yang menyerlahkan kerapuhan kewangan negara yang muflis itu ketika ia pulih daripada krisis tahun lalu.

    Mata wang rupee negara itu menjunam hampir 50 peratus tahun lalu selepas kerajaan mengisytiharkan muflis dan gagal membayar hutang luar negara sebanyak AS$46 bilion.

    Kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk menyebabkan protes ganas selama berbulan-bulan yang memaksa presiden ketika itu, Gotabaya Rajapaksa meletakkan jawatan dan melarikan diri dari negara itu.

    “Krisis ekonomi Sri Lanka menyerlahkan keperluan untuk jaringan keselamatan yang kukuh untuk menyokong sektor kewangan,” kata Pengarah Negara Bank Dunia, Faris Hadad-Zervos.

    Wang itu akan digunakan untuk skim insurans deposit bagi melindungi penyimpan kecil dengan kurang daripada AS$3,400, yang menyumbang 90 peratus daripada deposit.

    Ekonomi dijangka menguncup pada 2023 tetapi ia telah stabil sejak krisis, dengan inflasi jatuh di bawah dua peratus selepas memuncak hampir 70 peratus lebih setahun lalu. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda