Saturday, June 29, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Bank Dunia lulus pinjaman AS$700 juta rangsang sektor swasta Mesir

    KAHERAH, 25 JUN – Bank Dunia telah meluluskan pinjaman berjumlah AS$700 juta untuk membantu Mesir merangsang penyertaan sektor swasta dalam ekonominya yang terjejas akibat konflik Israel-Gaza, menurut kenyataan organisasi itu, kelmarin.

    Program tersebut bertujuan menangani cabaran ekonomi jangka pendek, meningkatkan pertumbuhan sektor swasta, membina ketahanan makroekonomi dan fiskal, serta mengalih negara ke arah pertumbuhan hijau yang lebih mampan.

    Bank Dunia dalam kenyataannya memaklumkan bahawa aspek hijau dalam program pinjaman itu akan merangkumi sokongan untuk memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan kecekapan dalam sektor elektrik, air dan sanitasi.

    Pinjaman itu merupakan sebahagian daripada komitmen tiga tahun Bank Dunia berjumlah AS$6 bilion kepada Mesir yang diumumkan pada Mac lalu, yang diluluskan selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengembang program pinjamannya kepada negara itu kepada lebih AS$8 bilion untuk menyokong ekonominya.

    Ekonomi Mesir masih dikuasai oleh perusahaan berkaitan ketenteraan dan selama ini tertumpu kepada projek mega infrastruktur yang mahal.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi Mesir telah berdepan pelbagai cabaran termasuk perang di Ukraine yang menyebabkan kenaikan harga gandum, serta serangan terhadap perkapalan antarabangsa oleh pemberontak Yaman Houthi selepas tercetusnya konflik Israel-Gaza.

    Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi sebelum ini menyatakan hasil pendapatan daripada Terusan Suez, yang merupakan sumber utama pertukaran asing negara itu, telah menurun sebanyak 40 hingga 50 peratus akibat serangan tersebut.

    “Usaha untuk mewujudkan pekerjaan yang baik dan mampan serta membina ketahanan terhadap perubahan iklim adalah kritikal untuk kemakmuran kini dan masa depan rakyat Mesir, terutama sekali golongan miskin dan rentan,” kata Pengarah Negara Bank Dunia untuk Mesir, Yaman dan Djibouti, Stephane Guimbert dalam satu kenyataan yang keluar semalam. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...