Bank Dunia luluskan pakej bantuan untuk Lubnan

BEIRUT, 13 JAN – Kumpulan Bank Dunia kelmarin meluluskan pakej bantuan sebanyak AS$246 juta untuk membantu 786,000 warga Lubnan yang kini berdepan dengan krisis ekonomi terburuk di negara itu dalam beberapa dekad selain terjejas akibat wabak koronavirus.

Lubnan, sebuah negara dengan jumlah lebih dari enam juta penduduk, sedang bergelut dengan kemerosotan ekonomi terburuknya sejak perang 1975-1990.

Wabak koronavirus yang semakin meningkat telah memburukkan lagi krisis berkenaan, memaksa perniagaan ditutup sekali gus menyekat pendapatan seharian penduduk di sebuah negara di mana lebih daripada separuh penduduk hidup dalam kemiskinan.

Projek Bank Dunia akan membantu kira-kira 786,000 individu dengan bantuan wang tunai selama setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

“Isi rumah yang layak akan menerima bantuan bulanan 100,000 pound Lebanon (AS$65) setiap ahli isi rumah, di samping jumlah tetap 200,000 pound Lubnan setiap isi rumah,” katanya.

Ia juga akan membantu 87,000 kanak-kanak yang berumur antara 13 hingga 18 tahun dengan bantuan kewangan tambahan untuk menampung kos langsung persekolahan termasuk kos, buku teks dan pengangkutan serta perbelanjaan seragam sekolah.

“Lubnan telah menghadapi krisis yang kompleks dan belum pernah terjadi sebelumnya. Krisis ekonomi dan kewangan yang teruk menyebabkan penurunan KDNK yang diunjurkan 19.2 peratus pada tahun 2020, inflasi tiga digit dan peningkatan kemiskinan menjadi 45 peratus dan kemiskinan melampau sehingga 22 peratus,” tambah kenyataan itu.

Lubnan akan mengenakan perintah berkurung 24 jam selama 11 hari mulai hari Khamis, selepas jangkitan harian meningkat sekitar 70 peratus selama seminggu yang lalu. – AFP