Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Dunia luluskan pemulihan Lubnan bernilai AS$250 Juta

    WASHINGTON, 25 JUN – Bank Dunia, hari ini, mengumumkan kelulusan projek bernilai AS$250 juta bagi menyokong usaha pembinaan semula dan pemulihan Lubnan selepas perang dahsyat tahun lalu antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

    Bank tersebut sebelum ini menganggarkan kos pembinaan semula dan pemulihan mencecah sekitar AS$11 bilion.

    “Lembaga Pengarah Eksekutif Bank Dunia telah meluluskan pembiayaan sebanyak AS$250 juta kepada Lubnan bagi menyokong kerja-kerja pembaikan segera dan pembinaan semula infrastruktur awam kritikal serta perkhidmatan asas yang rosak, serta pengurusan mampan sisa runtuhan di kawasan yang terjejas akibat konflik,” menurut kenyataan rasmi Bank Dunia.

    Pengarah bahagian Bank Dunia untuk Timur Tengah, Jean-Christophe Carret, berkata bahawa “memandangkan keperluan pembinaan semula Lubnan yang besar, projek ini distrukturkan sebagai rangka kerja berskala bernilai AS$1 bilion dengan sumbangan awal sebanyak AS$250 juta dari Bank Dunia.”

    Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan projek itu sebagai “langkah penting dalam pembinaan semula, dengan memberi tindak balas terhadap kerosakan ke atas infrastruktur kritikal dan perkhidmatan penting di kawasan yang terjejas akibat peperangan.”

    “Sokongan ini mengukuhkan usaha pemulihan yang dipacu oleh kerajaan serta membuka ruang kepada pembiayaan tambahan yang amat diperlukan,” ujar beliau.

    Lebih setahun pertempuran antara kumpulan Hezbollah dan Israel – termasuk peperangan penuh yang meletus pada September – berakhir dengan perjanjian gencatan senjata pada akhir November lalu.

    Konflik tersebut mengakibatkan kemusnahan besar di seluruh Lubnan, terutamanya di kawasan kubu kuat Hezbollah di selatan dan timur negara itu serta di pinggir selatan Beirut, sekali gus memburukkan lagi krisis ekonomi yang telah bermula sejak 2019.

    Pembinaan semula kekal sebagai antara cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan Lubnan, yang kini giat mencari bantuan asing untuk membiayai proses pemulihan pasca-perang. – AFP

    Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, berucap semasa sidang media bersama rakan sejawatnya dari Qatar di Doha pada 24 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda