Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia

    KUALA LUMPUR, 8 OKT – Kumpulan Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus pada 2024, daripada 4.3 peratus yang ditetapkan pada April lalu.

    Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata semakan kenaikan itu didorong oleh faktor domestik dan luaran ketika ekonomi global mencatat prestasi lebih baik berbanding jangkaan pada enam bulan lepas.

    Di peringkat domestik, beliau berkata momentum ekonomi yang positif, peningkatan kestabilan politik dan persekitaran dasar yang terus kondusif serta memacu lebih banyak pelaburan, telah menyumbang kepada peningkatan unjuran pertumbuhan berkenaan.

    “Pertumbuhan global itu dijangka stabil dalam lingkungan 2.6 peratus tahun ini walaupun dalam senario ketegangan geopolitik yang berterusan serta kadar faedah lebih tinggi. Oleh itu, terdapat minat baharu terhadap pertumbuhan, khususnya dalam kalangan negara-negara maju.

    “Malaysia berada dalam kedudukan yang baik. Dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun secara amnya, (terdapat) aliran positif dalam keyakinan pengguna, pembuatan serta perkhidmatan,” katanya kepada media dalam sesi taklimat mengenai Tinjauan Ekonomi Malaysia bagi Oktober 2024 di pejabat Bank Dunia di Kuala Lumpur, hari ini.

    Gambar Freepik

    Menurut Sanghi, pertumbuhan keluaran perkapita Malaysia yang digunakan untuk mengukur kebajikan, adalah 12 peratus lebih tinggi daripada paras prapandemik dan mengatasi prestasi rakan serantau ASEAN.

    “Ini bermakna status negara berpendapatan tinggi untuk Malaysia boleh dicapai, berdasarkan andaian kami terhadap dolar AS berbanding ringgit pada paras 4.54 dan dengan kadar pertumbuhan purata 4.3 peratus, kami menjangkakan Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028.

    “Jika nilai tukaran dolar AS dan ringgit kekal pada paras semasa iaitu kira-kira 4.20, maka matlamat pendapatan tinggi (boleh dicapai) setahun lebih awal pada 2027,” katanya sambil menambah negara berpendapatan tinggi tidak sama dengan status negara maju dan sentiasa ada risiko untuk kembali semula ke tahap asal.

    Mengenai ringgit, Sanghi berkata prestasi kukuhnya baru-baru ini mencerminkan sentimen pelabur yang bertambah baik disebabkan oleh tiga faktor iaitu pelonggaran dasar monetari AS, data ekonomi domestik yang lebih kukuh pada suku kedua dan pembaharuan penting oleh kerajaan.

    “Saya percaya semua faktor ini telah menaikkan keyakinan pelabur dan meningkatkan permintaan terhadap ringgit. Jangan lupa usaha kerajaan melaksanakan inisiatif yang disasarkan secara khusus dan usaha Bank Negara Malaysia untuk membawa pulang dana dan memperbaiki fungsi pasaran mata wang telah menyokong lagi ringgit,” tambahnya.

    Dalam pada itu, Sanghi berkata Malaysia menyaksikan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih yang lebih tinggi pada suku kedua 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

    Bagaimanapun, beliau menyatakan Malaysia mempunyai sekatan FDI yang tinggi mengikut indeks yang dibangunkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

    Berdasarkan indeks ini, Malaysia dan Thailand mempunyai tahap sekatan FDI yang sama, iaitu kurang ketat berbanding Indonesia dan Filipina, tetapi jauh lebih ketat berbanding Vietnam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda