MANILA, 24 JUN – Meningkatkan pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak akan meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Filipina dan mengukuhkan potensi ekonomi negara, menurut laporan Bank Dunia yang dikeluarkan hari ini, lapor Xinhua.
Laporan itu menerangkan kepentingan kesihatan, pemakanan, pendidikan dan perlindungan sosial sepanjang dekad pertama kehidupan, menekankan keperluan untuk melabur dalam bidang ini bagi meningkatkan modal insan di negara ini.
Filipina, dengan populasi yang agak muda boleh memanfaatkan dividen demografinya dengan pelaburan yang mencukupi dalam modal insan, kata Ndiame Diop, Pengarah Negara Bank Dunia untuk Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand.
Bagaimanapun, menurut Indeks Modal Insan (HCI) Bank Dunia, Filipina menghadapi cabaran dalam hal ini.
HCI mengukur sumbangan kesihatan dan pendidikan kepada produktiviti generasi pekerja akan datang.
Disebabkan kekurangan pelaburan dalam bidang-bidang utama ini, kanak-kanak Filipina yang dilahirkan hari ini dijangka hanya separuh produktif sahaja apabila mereka menjadi dewasa berbanding potensi penuh mereka.
Laporan itu mendapati beberapa faktor menyumbang kepada jurang produktiviti, termasuk akses yang terhad dan tidak sama rata kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan; kecekapan rendah dalam kemahiran asas seperti membaca, menulis, celik angka dan penyelesaian masalah; kemiskinan dan ketidaksamaan yang meluas serta kerentanan tinggi kepada bencana alam yang bertambah buruk akibat perubahan iklim.
Laporan itu juga mengesyorkan pemba-ngunan kapasiti yang disasarkan, sokongan belanjawan dan mekanisme insentif yang saksama untuk unit kerajaan tempatan di negara ini, yang memainkan peranan penting dalam penyampaian perkhidmatan untuk meningkatkan modal insan. – Bernama


