Bank Dunia umum presiden April depan

WASHINGTON, 11 Jan – Bank Dunia pada Khamis telah menggariskan proses pemilihan presiden seterusnya bagi menggantikan Jim Yong Kim (gambar bawah), yang tiba-tiba mengumumkan pengunduran awal dari bank pembangunan pelbagai hala itu awal minggu ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan badan dunia itu.

Susulan satu mesyuarat pada Rabu, lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia mengesahkan komitmennya kepada proses pemilihan yang ‘terbuka, berdasarkan merit dan telus’, menurut Bank Dunia.

“Pengarah Eksekutif bersetuju bahawa calon harus komited terhadap pelaksanaan Forward Look dan perjanjian pakej modal sebagaimana yang disebut dalam Sustainable Financing for Sustainable Development Paper,” menurut kenyataan itu.

Calon harus memenuhi beberapa kriteria penting, termasuk rekod prestasi kepimpinan, pengalaman dalam menguruskan organisasi besar dengan pendedahan antarabangsa, dan komitmen tegas serta penghargaan terhadap kerjasama pelbagai hala, menurut Bank Dunia.

Bank itu berkata pencalonan untuk presiden seterusnya hendaklah dikemukakan antara 7 Feb dan 14 Mac dan pengarah eksekutif akan memutuskan senarai pendek tiga calon pada April.

“Temu bual rasmi oleh Pengarah Eksekutif akan dijalankan untuk semua calon yang disenarai pendek dengan jangkaan memilih Presiden baharu sebelum Mesyuarat Musim Bunga pada April,” kata bank itu. – Bernama