JAKARTA, 22 SEPT – Bank pusat Indonesia menaikkan kadar faedah untuk bulan kedua berturut-turut hari ini dalam usaha memerangi inflasi yang dicetuskan oleh kenaikan harga minyak dan perang di Ukraine.
Bank Indonesia menaikkan kadar kepada 4.25 daripada 3.75 peratus, dan kenaikan adalah lebih tinggi daripada dijangka oleh penganalisis.
Dua kadar utama yang lain juga dinaikkan sebanyak 50 mata.
Bank pusat menaikkan kadar faedah pada Ogos buat pertama kalinya sejak 2018 untuk melindunginya daripada inflasi yang meningkat pesat, dengan serangan Rusia ke atas Ukraine mendorong harga minyak dan makanan naik di dunia sekali gus menjejas jutaan penduduk.
Namun kenaikan harga minyak pada bulan ini memberikan lebih banyak tekanan ke atas bank pusat untuk bertindak.
Kerajaan menambah harga minyak bersubsidi sebanyak kira-kira 30 peratus, dasar yang dijangka mencetuskan inflasi yang telah pun mencecah 4.69 peratus.
Beberapa penganalisis meramalkan inflasi akan mencecah hingga tujuh peratus pada
akhir tahun.
Kenaikan kadar hari ini merupakan ‘tindakan bertujuan mengurangkan jangkaan inflasi,’ kata Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo.
Ia berusaha menurunkan inflasi kepada sasaran bank pusat di antara 2 dan 4 peratus pada separuh tahun kedua tahun depan, katanya, meramalkan ia mungkin naik kepada enam peratus pada bulan ini. – AFP
