KUALA LUMPUR, 30 Dis – Bank Islam Malaysia Bhd memperkenalkan aplikasi mudah alih, SnapNPay, untuk memudahkan pengguna menyalurkan sumbangan kepada Sadaqa House, iaitu inisiatif kewangan sosial yang telah dilancarkan oleh bank itu pada awal tahun ini.
Dalam kenyataan, Bank Islam berkata SnapNPay adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan SnapNPay LLP, bagi membolehkan orang ramai membuat bayaran menggunakan enjin FPX dengan mengguna pakai maklumat atau data yang disenaraikan pelanggan (penerima) dalam mod kod QR atau kod Bar.
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SnapNPay dari Playstore (Android – sudah tersedia) atau Appstore (Apple – tersedia menjelang Januari 2019) secara percuma tanpa sebarang pendaftaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata ciri yang terbaik adalah sesiapa sahaja boleh membuat urus niaga ini kerana satu kod QR boleh menampung kesemua 17 bank FPX di Malaysia, lantas ia menghapuskan keperluan untuk menghasilkan pelbagai kod QR dari bank individu dan bayaran adalah berdasarkan masa nyata.
“Hari ini, kami telah menggabungkan teknologi dan penyelesaian syariah dalam menyampaikan perkhidmatan yang selari dengan aliran digital semasa.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan digital Bank Islam dalam memastikan keselesaan, perkhidmatan yang berkesan dan berimpak tinggi dengan pelaksanaan yang mudah,” katanya. – Bernama