Bank Islam sasar peningkatan dalam jumlah wang kiriman

KUALA LUMPUR, 19 JAN – Bank Islam Malaysia Bhd menyasarkan jumlah kiriman wang ke luar negara meningkat sekurang-kurangnya 15 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan pelaksanaan perkhidmatan Inovasi Pembayaran Global (gpi) SWIFT.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Muazzam Mohamed berkata langkah itu akan melengkapkan sasaran bank bagi pendapatan berasaskan fi selepas menyertai 550 bank lain di lebih 200 negara yang menawarkan piawaian baharu dalam kaedah pembayaran global.

“Pelanggan akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk membuat bayaran terhadap barangan dan perkhidmatan antarabangsa dalam tempoh yang lebih singkat, sekali gus memendekkan kitaran bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada risiko tukaran wang asing.

“Mereka juga mampu mengawasi pembayaran rentas sempadan yang disempurnakan pada masa sebenar, selain dimaklumkan mengenai kos dan caj yang terlibat dalam transaksi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan gpi SWIFT bank itu kini boleh didapati melalui 144 cawangannya di seluruh negara.

SWIFT adalah sebuah koperatif global dan penyedia perkhidmatan pesanan khidmat kewangan yang terulung di dunia. Ia memudahkan aliran kewangan global dan tempatan serta menyokong perdagangan di seluruh dunia.

Platform pesanan, produk dan perkhidmatan SWIFT menghubungkan lebih 11,000 organisasi perbankan dan sekuriti, infrastruktur pasaran dan pelanggan korporat di lebih 200 negara dan wilayah.

Perkhidmatan itu telah dimanfaatkan oleh 3,550 institusi kewangan di seluruh dunia, termasuk semua 60 kumpulan perbankan utama dalam SWIFT.

Dijangkakan semua institusi dalam rangkaian SWIFT akan menggunakan gpi menjelang akhir tahun 2020. – Bernama