TOKYO, 11 OKT – Gangguan yang dialami oleh sistem rangkaian pengesahan pembayaran di Jepun masih belum menunjukkan tanda akan pulih, dengan 11 bank terjejas dan berjuta-juta transaksi terganggu, lapor Xinhua.
Zengin System dalam satu kenyataan berkata terdapat kemungkinan transaksi mungkin ditangguhkan ekoran daripada masalah sistem yang bermula kelmarin itu masih berterusan.
Berikutan itu juga hari ini, sebuah institusi kewangan gabungan kerajaan yang khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana, mengumumkan penggantungan transaksi di kaunter cawangan dan ATM di seluruh negara.
Jumlah transaksi yang terjejas akibat gangguan mencecah 1.4 juta pada malam semalam dan angka itu dijangka melebihi tiga juta, menurut media tempatan.
Sistem Zengin berkata masih tidak dapat dipastikan punca kepada gangguan itu dan ini adalah kali pertama pelanggan bank terjejas sejak sistem rangkaian itu dilancarkan pada 1973, menurut agensi berita, Kyodo. – Bernama


